Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kubah Pengering Solar Pertama Wakaf, Perkasa Ekonomi Nelayan Sungai Yu

By 44 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PWS

KUALA SELANGOR, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Wakaf Selangor Muamalat (WSM) mengambil inisiatif proaktif membangunkan kubah pengering solar pertama di negeri ini.

Usaha tersebut bagi meningkatkan pengeluaran ikan kering, sekali gus memperkasakan ekonomi komuniti nelayan di Sungai Yu, di sini yang dapat memberi manfaat kepada lebih 300 nelayan.

Lawatan ke tempat pengeringan ikan masin.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Anuar Hamzah Tohar, berkata inisiatif ini adalah bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dalam satu kerjasama strategik melalui WSM.

“Kubah pengering itu adalah daripada dana wakaf orang ramai dan dikumpulkan melalui inisiatif WSM bertujuan membantu meningkatkan pendapatan komuniti nelayan di sini.

“Fasiliti ini dapat memproses ikan kering lebih cepat iaitu dalam masa tiga hingga empat jam bagi ikan bersaiz kecil, berbanding empat hingga lima hari sebelum ini. Kalau musim hujan, mungkin lebih lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan kubah pengering solar di Persatuan Nelayan Sungai Yu, di sini semalam.

Sumbangan dan peluncuran kubah pengering solar Wakaf Selangor Muamalat

Turut hadir Ketua Jabatan Kewangan Sosial BMMB, Zaharudin Alias dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Yu Kamarudin Yusuf.

Menurut Anuar, kubah pengering tersebut bukan sahaja mampu memproses ikan, malah turut boleh digunakan untuk mengeringkan sayur-sayuran seperti cili untuk dijadikan cili kering.

“Inisiatif ini yang terhasil adalah menggunakan dana wakaf orang ramai yang terkumpul melalui WSM dan keseluruhan projek ini adalah berjumlah RM140,681.

“Saya berharap agar aset wakaf ini dapat dijaga dengan elok serta dimanfaatkan sebaiknya,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda