Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ Tema HKHM 2025

By 16 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaidy Salim/Fizree Aziz (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 11 Jun (MalaysiaAktif) – ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) pada tahun ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di Dewan Cendekiawan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri, Kuala Lumpur, dekat sini sebentar tadi, berkata tema ‘Rakyat Disantuni’ dipilih untuk menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian utama.

“Pada hari ini saya sukacita mengumumkan pertama logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025. Tema bagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Malaysia MADANI Rakyat Disantuni.

“Ini yang akan menjadi tema kita dan logo Malaysia MADANI kekal digunakan sebagai logo rasmi sambutan sehingga tahun 2027 selaras dengan usaha membangun Malaysia Madani, teras perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya.

Pada majlis tersebut Jurucakap Kerajaan MADANI itu turut memperincikan beberapa acara utama untuk menyemarakkan HKHM 2025 yang akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 pada 27 Julai di Johor, Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos 2025 di Putrajaya dan Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang pada 16 September.

“Sebagai maklumat tambahan, ada 14 program sisipan dan aktiviti patriotik yang akan disusun di seluruh negara melibatkan penganjuran di peringkat nasional hingga ke akar umbi.

“Antaranya Quran Hour, Kira Detik Merdeka, Majlis Memperingati Negarawan, Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan dan pelbagai aktiviti digital,” katanya.

Menurutnya lagi, Inisiatif 1Rumah 1Jalur Gemilang yang dilaksanakan pada tahun lalu akan diperhebat dengan tambahan dua kluster baharu iaitu kluster industri dan kluster agensi kerajaan berbanding lima kluster iaitu kluster pendidikan, pendidikan tinggi, kesihatan, keselamatan dan komuniti pada tahun lalu.

“Untuk makluman semua, acara-acara yang saya sebutkan tadi serta maklumat tambahan boleh diperoleh dari portal Merdeka360 https://www.merdeka360.my/web/.

-ZS-

Tinggalkan komen anda