Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

‘Ngiling Bidai’- Platform Penyatuan Bangsa Dalam Kalangan Komuniti

By 5 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Aishah Latip / Othman Morni (Sarawak)

LUNDU, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Sambutan ‘Ngiling Bidai’ yang berlangsung di Dewan Kampung Sebandi Hulu, di sini bukan sekadar penutup kepada perayaan Gawai Dayak, malah menjadi platform penyatuan bangsa dalam kalangan komuniti yang menonjolkan kekuatan perpaduan dan warisan budaya masyarakat Iban.

Majlis yang telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.

Pertandingan busana pakaian tradisional menampilkan kepelbagaian warna-warni budaya dan keindahan warisan masyarakat Dayak.

Menurut Billy, ‘Ngiling Bidai’ bukan sekadar penutup kepada perayaan Gawai, namun ia adalah lambang perpaduan, menghidupkan dan memperkasakan adat resam dan budaya serta simbol semangat kekeluargaan serta permuafakatan dalam komuniti.

Program yang bertemakan ‘Ngemeranka Adat, Ngemansangka Sekula’ turut memperlihatkan bagaimana warisan adat dan budaya serta pendidikan dijadikan asas untuk memperkukuh jati diri anak-anak.

“Budaya dan pendidikan tidak boleh dipisahkan dan sekolah bukan sahaja tempat menimba ilmu akademik, tetapi juga tempat anak-anak kita mempelajari nilai budaya dan adat resam seperti Dayak seperti ‘Ngajat’, ‘Niri ke ranyai’ serta menghormati sejarah kependudukan dan memupuk semangat perpaduan antara kaum”, ujar Billy hari ini.

Malah, beliau amat menyokong usaha sebegini yang bukan sahaja mengekalkan adat tradisi, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara sekolah dan masyarakat setempat serta agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan Daera Lundu.

Selain itu, Billy turut teruja dengan persembahan pelajar sekolah SK Sebandi seperti tarian ngajat di mana para pelajar inilah pewaris masa depan dalam memartabatkan adat resan dan budaya masyarakat Iban.

Helmy turut menunjukkan bakat memasak kuih tradisional Iban, ‘penyaram’.

Terdahulu Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak, Helmy Hamid berkata Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menggerakkan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian serta melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak daripada ancaman siber.

Beliau menegaskan bahawa ahli Komuniti MADANI turut memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dan ‘key opinion leader’ dalam menjayakan kempen ini, khususnya dalam membimbing anak-anak di kawasan masing-masing.

“Kerjasama dengan MCMC akan memperkukuh peranan komuniti dalam mendidik dan melindungi kanak-kanak daripada bahaya siber. Ini adalah tanggungjawab bersama,” jelasnya.

Helmy turut menekankan bahawa Program Jiwa @ Komuniti MADANI Sambutan Perayaan merupakan satu inisiatif turun padang oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) untuk mendekati masyarakat secara langsung, memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Perayaan seperti ‘Ngiling Bidai’ yang disambut bersama tanpa mengira latar belakang menunjukkan keharmonian yang menjadi asas kekuatan negara,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda