Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pemberian SIMkad Percuma Bantu Pelajar Kekal Terhubung, Atasi Jurang Digital

By 20 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad

PASIR MAS, 25 Jun (MalaysiaAktif) – Usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar terus diperkasa apabila Pejabat Penerangan Daerah Pasir Mas mengambil inisiatif menganjurkan Program Pemberian SIMkad Percuma bersempena Majlis Perasmian JIWA@Kelab Malaysiaku SMK Sultan Ibrahim (2), di sini pagi tadi.

Petugas dari CelcomDigi sedang mengendalikan SIMkad dan kad pengenalan pelajar, untuk proses pendaftaran dan  pengesahan

Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar apabila ratusan SIMkad diagihkan secara percuma bagi tujuan memudahkan akses kepada pembelajaran dalam talian, khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Petugas program turut membantu proses pendaftaran dan pengaktifan SIMkad menggunakan maklumat pengenalan pelajar bagi memastikan ia dapat digunakan serta-merta.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif untuk meringankan beban kewangan keluarga dan memastikan pelajar kekal terhubung dengan bahan pembelajaran di mana sahaja mereka berada.

Salah seorang penerima SIMkad percuma melalui Program Pemberian SIMkad Percuma yang diadakan

Salah seorang penerima, pelajar Tingkatan Enam, Nur Ariesya Mohd Arifin, 18, yang juga ahli Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), meluahkan rasa gembira apabila menerima bantuan ini.

“Kami sangat bersyukur dengan bantuan ini. Dengan adanya SIMkad percuma, saya dapat mengakses internet untuk menyiapkan tugasan dan mengikuti kelas dalam talian dengan lebih mudah,” katanya.

Program ini turut melibatkan pengagihan SIMkad 5G prabayar yang menyokong penggunaan data untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), pembelajaran hibrid serta akses kepada pelbagai sumber pendidikan digital.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan, Encik Muhd Aswadi Md. Nor, yang menegaskan kepentingan akses digital sebagai komponen utama dalam pembangunan modal insan generasi muda.

“Usaha memperkasa pelajar dengan pengetahuan serta kemudahan digital adalah pelaburan penting untuk masa depan negara. Kita mahu membina masyarakat yang lebih celik teknologi dan bersedia menghadapi cabaran dunia digital,” katanya.

Selain pengagihan SIMkad, program turut diserikan dengan taklimat khas oleh kakitangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Taklimat tersebut memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang kepentingan literasi digital dan asas pengurusan kewangan bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan.

Program ini dilihat sebagai salah satu langkah berterusan kerajaan dalam memastikan tiada pelajar tercicir dalam arus digital, sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah membina masyarakat yang lebih inklusif dan celik teknologi.

-AA-

Tinggalkan komen anda