
Laporan/foto: Hirniezah Hj Tabin (Beaufort)
BEAUFORT, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Program JIWA MADANI @ Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort yang berlangsung semalam disifatkan sebagai platform terbaik dalam memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai proses demokrasi dan tanggungjawab sebagai pengundi menjelang usia 18 tahun.
Program yang diisi dengan Taklimat Pendidikan Pengundi berjaya menarik penyertaan pelajar dan tenaga pengajar, serta memberikan pelbagai ilmu pengetahuan berkaitan sistem pilihan raya dan tatacara pengundian.

Mohd. Said menyampaikan ucapan semasa merasmikan program JIWA MADANI @ Kelab Malaysiaku SMK Beaufort, Beaufort.
Mewakili Pengetua SMK Beaufort, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Beaufort Mohd. Said @ Mohd. Shah Ag. Damit yakin, pendedahan seperti ini sangat penting dalam membentuk kesedaran sivik dalam kalangan pelajar.
“Pendedahan terhadap proses mengundi memberikan sedikit sebanyak pengalaman baharu kepada generasi muda dan ini merupakan pembelajaran terbaik buat pelajar, terutamanya menerusi simulasi proses pengundian secara membuang undi yang dijalankan dalam program ini.
“Program sebegini mampu membentuk jati diri pelajar agar menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab dan cakna terhadap hak serta tanggungjawab mereka apabila bergelar pengundi kelak,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Sementara pelajar Tingkatan Lima, Putri Fateah, 17, berpendapat bahawa program simulasi pengundian yang diadakan memberikan pengalaman yang sangat berharga sebagai persediaan bergelar pengundi tahun hadapan.

Gambar kenangan Ebur (duduk, dua dari kiri), Pegawai Penerangan Daerah Beaufort, Suhali Awang (duduk, tiga dari kiri), Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Beaufort, Cikgu NurulHidayah Bahiyah Rahmat (duduk, tiga dari kanan), Mohd. Said (duduk, dua dari kanan) serta pelajar SMK Beaufort.
“Perkongsian ilmu pada hari ini sangat berguna dan pengalaman mengundi serta berkempen untuk menyampaikan manifesto memberikan semangat serta membina keyakinan kepada diri saya sendiri.
“Saya berharap program seperti ini akan terus diadakan kerana ia memberi ruang kepada pelajar untuk memahami bagaimana sistem demokrasi berfungsi secara langsung,” ujarnya.
Program yang dihadiri ahli Kelab Malaysiaku ini dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sabah yang diketuai oleh Pegawai Penyelaras Pendidikan Pengundi Ebur Sabtar.
-ZS-
ok saya di smkb beaufort