
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 25 Jun (MalaysiaAktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubor Panjang terus mencipta kecemerlangan apabila diumumkan sebagai sekolah terbaik dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 bagi negeri Kedah.
Seramai lapan pelajar sekolah itu memperoleh keputusan cemerlang penuh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00, manakala 10 lagi mencatat CGPA 3.92.

SMK Kubor Panjang dianugerahkan sebagai Pusat Tingkatan Enam Mod 2 Gred Purata STPM Terbaik Malaysia 2024.
Secara keseluruhan, 46 daripada 56 orang pelajar mencapai keputusan CGPA 3.00 ke atas menjadikan SMK Kubor Panjang sebagai antara sekolah paling cemerlang di peringkat negeri dan kebangsaan.
Lebih membanggakan, sekolah ini turut diumumkan sebagai penerima Gred Purata Terkumpul (PTE) STPM Terbaik Peringkat Kebangsaan 2024 sekali gus mengharumkan nama negeri Kedah di persada pendidikan negara.
Pengetua SMK Kubor Panjang, Mohd Fadzli Abd Aziz ketika ditemui semalam melahirkan rasa syukur dan berbangga atas pencapaian luar biasa yang dicapai hasil usaha kolektif seluruh warga sekolah.
“Alhamdulillah, ini adalah hasil usaha berterusan guru-guru, sokongan ibu bapa dan kesungguhan pelajar yang tidak pernah mengalah.
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa sekolah luar bandar juga mampu mencipta kejayaan besar jika diberi peluang dan bimbingan berkualiti,” katanya sejurus selepas pengumuman rasmi keputusan STPM semalam.

Sapsirik Bunteng salah seorang pelajar cemerlang STPM 2024 SMK Kubor Panjang.
Dalam kegembiraan meraikan keputusan membanggakan ini, beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pentadbir, para guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa serta komuniti setempat yang sentiasa memberi sokongan padu terhadap usaha kecemerlangan sekolah.
Pencapaian ini menjadi bukti bahawa kolaborasi erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat mampu melonjakkan potensi pelajar dan mengangkat nama sekolah ke peringkat lebih tinggi.
Salah seorang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, Sapsirik Bunteng, 20, merakamkan penghargaan kepada guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu dan membimbing semua pelajar dengan penuh dedikasi.
“Kejayaan ini diharap menjadi pembakar semangat untuk saya terus melangkah lebih jauh dan mengekalkan prestasi cemerlang,” ujarnya.
-ZS-