Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Strawberry Moon dan Major Lunar Standstill Tidak Kelihatan di Alor Setar Akibat Awan Tebal

By 9 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhamad Azrul Abdullah (Padang Terap)

ALOR SETAR, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Dua fenomena langit yang jarang berlaku serentak, iaitu Strawberry Moon dan Major Lunar Standstill, gagal dilihat di langit Alor Setar malam tadi apabila keadaan cuaca yang berawan tebal menutupi pandangan.

Fenomena yang dijangka berlaku dari 10 hingga 12 Jun itu menarik perhatian pencinta astronomi di seluruh dunia.

Bulan kurang kelihatan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Namun, di Malaysia khususnya di utara Semenanjung, cuaca yang tidak mengizinkan serta kedudukan geografi negara yang hampir dengan garisan khatulistiwa menyebabkan kesan visualnya kurang ketara.

Major Lunar Standstill ialah kejadian yang berlaku setiap 18.6 tahun apabila bulan mencapai kedudukan paling tinggi dan paling rendah dalam lintasan orbitnya di langit malam.

Keadaan ini menyebabkan sudut terbit dan terbenam bulan menjadi lebih ekstrem, menjadikan pergerakan bulan lebih dramatik terutamanya di kawasan berlatitud tinggi.

Sementara itu, Strawberry Moon merupakan istilah tradisional yang digunakan oleh penduduk asli Amerika Utara, khususnya suku Algonquin, bagi merujuk kepada bulan penuh yang muncul pada bulan Jun.

Nama ini dikaitkan dengan musim menuai strawberi liar yang berlaku pada waktu yang sama. Walaupun tiada perubahan warna pada bulan, ia kekal sebagai tarikan tahunan dalam kalendar astronomi.

Di Alor Setar, ramai penduduk dan peminat langit malam menaruh harapan untuk menyaksikan keunikan dua fenomena ini. Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini telah mengeluarkan ramalan cuaca yang menjangkakan langit berawan di kawasan utara, termasuk Kedah dan Perlis.

Harun cuba untuk merakam fenomena Strawberry Moon di kawasan rumahnya di Alor Setar.

Seorang peminat fotografi astronomi Harun Ibrahim, 36, antara yang kecewa apabila gagal merakam detik bersejarah tersebut.

“Saya memang nantikan malam ini kerana fenomena Major Lunar Standstill hanya berlaku setiap hampir dua dekad, dan kali ini pula bertepatan dengan Strawberry Moon. Malangnya, awan terlalu tebal. Saya hanya sempat merakam cahaya malap bulan yang terlindung di sebalik awan.

“Memang rasa kecewa, tapi inilah keunikan dunia astronomi, ianya sentiasa bergantung pada cuaca dan penuh dengan ketidakpastian. Ia menjadikan setiap peluang mencerap langit itu lebih berharga,” katanya.

Fenomena Major Lunar Standstill seterusnya dijangka berlaku pada tahun 2046, menjadikannya antara peristiwa langit paling jarang berlaku dalam kitaran manusia.

Walaupun tidak dapat disaksikan kali ini, peminat astronomi di Malaysia masih boleh menantikan fenomena langit lain yang akan berlaku sepanjang tahun.

-ZS-

Tinggalkan komen anda