
Laporan/foto: Radiah Rahim/Zayana Zahira Isa (Pahang)
PEKAN, 14 Jun (MalaysiaAktif) – Siapa sangka, tanaman nanas yang dahulunya hanya ditanam secara kecil-kecilan di belakang rumah, kini menjadi salah satu sumber pendapatan lumayan bagi petani moden.

Dari kiri Abdul Halim, Faridah Mohamad dan adik Faridah, Salehuddin Mohamad.
Menurut seorang pengusaha nanas dari Kampung Baru Cenderawasih, Sungai Miang Faridah Mohamad, 50, beliau berjaya membina sebuah rumah kediaman, membeli dua buah kereta dan dua buah motosikal serta membina sebuah rumah burung (layang-layang) melalui hasil kebun nanas jenis MD2 miliknya seluas 1.5 ekar yang diusahakan bersama arwah suaminya semenjak 10 tahun yang lepas.
“Saya amat bersyukur dengan bantuan benih, racun dan wang tunai yang diberikan oleh kerajaan melalui Pejabat Pertanian dan Lembaga Perusahaan Nanas Malaysia (LPNM) dapat mengubah nasib keluarga yang sebelum ini hanya bergantung kepada pendapatan arwah suami sebagai bekas Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian di kampung,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Ujarnya lagi , nanas ini mengambil masa lebih kurang 12-14 bulan sebelum dapat merasa hasilnya.
“Walaupun masa menunggu untuk menuai hasil agak lama, namun pulangan dia memang berbaloi,” katanya.
Beliau turut memberitahu, pada peringkat awal banyak cabaran seperti banjir dan serangan musuh utama iaitu khinzir, namun masalah tersebut telah diselesaikan dengan pembinaan longkang dan pagar di kebunnya.

Ladang nanas milik mereka yang diusahakan secara bersama-sama.
Seorang lagi pengusaha nanas Abdul Halim Abdul Latif, 39, memberitahu nanas jenis MD2 kini menjadi pilihan utama pelanggan di sini adalah kerana rasa manis dan tahan lama dan tidak gatal seperti nanas lain.
“Ia juga sesuai untuk pasaran eksport dan terdapat permintaan tinggi bagi nanas ini terutama dari Singapura, Korea, Jepun dan Timur Tengah,” ujarnya.
Halim turut memberitahu beliau merupakan generasi kedua yang mengusahakan tanaman nanas ini yang diwarisi daripada bapanya.
“Kos operasi penanaman nanas amat sederhana berbanding tanaman lain, nanas juga lebih tahan penyakit dan tak perlu banyak air serta mudah dibaja,” katanya.
-ZS-