
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini Mohamad
KUALA TERENGGANU, 29 Jun (MalaysiaAktif) ā Dewan Besar Wisma Darul Iman bergema dengan semangat perubahan apabila Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447H berlangsung penuh gilang-gemilang kelmarin, dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu.

Titah diraja disampaikan oleh Yang Di-Pertuan Muda mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu 1447H
Bertemakan Membangun Ummah MADANI, sambutan kali ini mengangkat mesej mendalam tentang keimanan, ilmu sepanjang hayat dan akhlak mulia sebagai teras kehidupan masyarakat Islam moden.
Dalam titah diraja yang disampaikan, Yang Di-Pertuan Muda mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu menyeru umat Islam menjadikan semangat hijrah sebagai pencetus perubahan diri, pengukuh institusi keluarga, dan pembina masyarakat yang cemerlang berteraskan nilai-nilai Islam.
Baginda turut menekankan peranan strategik golongan belia sebagai agen transformasi sosial yang mampu melonjakkan kemajuan ummah secara menyeluruh.

Tetamu yang hadir di majlis sambutan Maal Hijrah 1447H Peringkat Negeri Terengganu
Majlis turut menyaksikan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah 1447H kepada YBhg. Datuk Dr. Haji Ghazali Ahmad, Pakar Nefrologi Institut Jantung Negara dan Tokoh Dakwah kepada YBhg. Datoā Haji Mohd Fauzi Mustaffa, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan.
Sambutan ini bukan sekadar memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW, tetapi menjadi simbol kepada tekad negeri Terengganu dalam memperkasa syiar Islam, membina masyarakat madani yang progresif dan berteraskan nilai murni.
Turut berangkat Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Dato’ Seri Muhammad Mua’az ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja
Tengku Dato’ Seri Fatimatuz Zahra’ binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
-AA-