
Laporan/foto: Mohd Noor Mahmuddin Mohd Mahlil
KOTA BHARU, 25 Jun (MalaysiaAktif) – Golongan komuniti kini diangkat sebagai barisan hadapan dalam usaha membendung ancaman siber apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Kelantan mengambil inisiatif melatih mereka melalui Program Training of Trainers (TOT) Modul Internet Selamat yang berlangsung di Dewan Pusat Mahasiswa, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, hari ini.

Hairudin Mohd Zin, Pengarah SKMM Negeri Kelantan menyampaikan ucapan perasmian
Melibatkan 50 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat, guru, belia dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari sekitar Kota Bharu dan Bachok, program ini menyasarkan pembentukan jurulatih komuniti yang berpengetahuan dalam isu keselamatan digital dan mampu menyebarkan maklumat penting di peringkat akar umbi.
Pengarah SKMM Negeri Kelantan, Hairudin Mohd Zin, berkata pendekatan melibatkan komuniti sebagai jurulatih adalah langkah proaktif dan paling berkesan untuk memastikan mesej keselamatan siber sampai terus kepada rakyat, terutama mereka di luar bandar.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata. Komuniti perlu dilatih dan diperkasa agar mereka dapat bertindak sebagai mata dan telinga dalam menyebarkan kesedaran tentang keselamatan siber dan ancaman dalam talian,” jelas beliau.

Rohaya Mat Salleh, 40, ahli Komuniti MADANI Bunut Payung, Kota Bharu
TOT ini memberi tumpuan kepada isu-isu kritikal seperti penipuan digital (scam), buli siber, eksploitasi maklumat peribadi dan kepentingan privasi digital.
Melalui ceramah interaktif, latihan berkumpulan dan simulasi praktikal, para peserta dilatih untuk mengenal pasti risiko siber serta teknik menyampaikan maklumat kepada komuniti mereka dengan cara yang mudah difahami.
Bagi peserta dari Komuniti MADANI Kandis, Bachok, Nik Mohd Jafri Jaafar, 57, TOT ini membuka matanya terhadap realiti ancaman dunia digital yang semakin meresap ke dalam kehidupan masyarakat, termasuk di kawasan kampung.
“Banyak orang kampung kami tidak sedar bahaya scam dan kongsi maklumat peribadi di internet. Dengan ilmu yang kami dapat dalam TOT ini, kami boleh bantu mereka lebih berhati-hati,” katanya.
Seorang lagi peserta, Rohaya Mat Salleh, 40, dari Komuniti MADANI Bunut Payung, Kota Bharu turut berkongsi pandangan. Sebagai peniaga kecil yang aktif menggunakan media sosial, beliau mengakui betapa pentingnya pengetahuan tentang keselamatan digital.
“Saya sering guna media sosial untuk berniaga, tapi tidak sedar risiko berkongsi maklumat peribadi secara terbuka. Sekarang saya lebih faham dan boleh berkongsi ilmu ini dengan rakan-rakan lain, terutama golongan wanita,” katanya.
Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SKMM dalam memperkukuh literasi digital rakyat dan membentuk komuniti yang lebih celik serta bertanggungjawab dalam dunia tanpa sempadan. Pendekatan melatih komuniti sebagai ejen perubahan dilihat mampu memberi impak besar dalam memerangi ancaman siber yang kian kompleks hari ini.
-AA-