
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim/Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 2 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 120 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tokai, Pendang telah menyertai Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Kelab Malaysiaku yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Pendang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Pendang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pendang, hari ini.

Antara para pelajar SMK Tokai yang terlibat dengan program pada hari ini.
Program yang berlangsung di Surau SMK Tokai ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai patriotik, meningkatkan kesedaran kenegaraan, menyemai semangat perpaduan serta menggalakkan aktiviti positif dan kreatif dalam kalangan pelajar.
Antara pengisian yang paling mendapat perhatian para pelajar adalah slot taklimat mengenai Bahaya Penggunaan Dadah yang disampaikan oleh Pembantu AADK Kanan Mohd Safuan Shatri.
Mohd Safuan dalam taklimatnya, berkata pendidikan awal merupakan benteng utama dalam usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah.
“Pencegahan perlu bermula di peringkat sekolah di mana para pelajar perlu mengambil peduli tentang bahaya penggunaan dadah serta kesannya yang mampu menghancurkan masa depan dan menggugat kesejahteraan negara,” katanya.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pendang (Sektor Perancangan) Mohd Zaid Mat Zain dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa dadah adalah musuh nombor satu negara dan merupakan pembunuh bangsa yang merosakkan potensi golongan muda.

Para pelajar memberi perhatian dalam sesi taklimat bersama AADK Daerah Pendang.
“Program seperti ini harus diadakan secara berterusan bagi memperkasakan jati diri pelajar dan menjauhkan mereka daripada anasir negatif,” ujarnya.
Menurut Pengetua SMK Tokai Hasliza Halim, program ini merupakan antara inisiatif Jabatan Penerangan melalui Kelab Malaysiaku dalam memperkasa pelajar sekolah menengah dengan nilai-nilai murni dan semangat cintakan tanah air di samping menangani cabaran sosial semasa seperti penyalahgunaan dadah.
“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai pelajar supaya mesej pencegahan dadah dapat diperluaskan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
-FN-