
Laporan/foto: Faizal Nazmi (Putrajaya)/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 2 Jul (MalaysiaAktif) – Orang ramai diminta terus melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika terdapat sebarang kenaikan harga barangan pada kadar tidak berpatutan susulan pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta orang ramai mengambil maklum mengenai talian hotline (talian utama) yang diumumkan KPDN bagi membuat aduan tersebut.
“Dan insya-Allah KPDN akan segera mengenal pasti premis-premis tersebut dan mengambil tindakan yang bersesuaian,” katanya pada Sidang Media Mingguan Kerajaan Perpaduan, di sini hari ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali juga pada semalam telah memaklumkan mengenai Op Kesan 4.0.
Operasi berkenaan katanya antara lain adalah usaha kementerian berkenaan dalam memastikan tidak berlaku aktiviti pencatutan atau profiteering akibat pelaksaan peluasan skop SST.
Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam lawatan kerja ke Itali, Perancis dan Brazil bermula semalam, sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan dalam memastikan hubungan Malaysia dengan ketiga-tiga negara tersebut sentiasa menyaksikan pengukuhan dua hala.
“…selain mempromosi Kerjasama ekonomi di peringkat global. Kita boleh jangkakan beberapa perbincangan menentuh aspek pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih erat bakal diumum kelak,” katanya.
-FN-