
Laporan/foto: Faizal Nazmi (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 2 Jul (MalaysiaAktif) — Setiap rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam menjayakan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2025-2030, tegas Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin.
Beliau berkata pembangunan MCSS 2025–2030 adalah mengenai keterangkuman dan kerjasama semua pihak dengan Malaysia mesti mempunyai daya tahan terhadap ancaman keselamatan siber yang semakin sofistikated.
“Ketahanan ini perlu dibina secara menyeluruh, bukan sekadar bergantung kepada teknologi semata-mata, tetapi dengan meletakkan manusia dan proses sebagai pemacu utama.
“Pendekatan berpaksikan manusia ini mengiktiraf bahawa tembok api yang paling hebat sekalipun tidak bermakna jika individu di belakangnya tidak memiliki kesedaran, dan dasar yang terbaik akan gagal tanpa sokongan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya bertajuk Advancing Malaysia’s Cyber Resilience: The Vision of MCSS 2025-2030 sempena Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES 2025), di sini hari ini.
Megat Zuhairy berkata pendekatan untuk membentuk masyarakat digital Malaysia agar mampu menyesuaikan diri dengan landskap ancaman yang sentiasa berubah adalah penting kerana masyarakat khususnya komuniti mewakili barisan pertahanan akar umbi.
Justeru, beliau berkata adalah penting untuk Malaysia mengoptimumkan kepakaran dan sumber tempatan sedia ada bagi memastikan kedaulatan negara terjamin.
“Melalui slogan ‘Bersama kita bina, bersama kita selamat’, ia melambangkan usaha untuk memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam memastikan Malaysia mencapai keselamatan siber.
“Empat peranan kritikal komuniti iaitu kesedaran, penyertaan, kepekaan dan advokasi adalah asas kepada kejayaan ini,” katanya.
Selain komuniti sebagai pemegang taruh dalam pendekatan MCSS 2025-2030 yang menjadikannya suatu pembaharuan besar, strategi tersebut juga katanya turut melibatkan kerajaan dan sektor perniagaan sekali gus membuktikan ia bersifat kolaboratif dan bersepadu, bukannya pendekatan dari atas ke bawah (top-down approach).
Strategi berkenaan menggariskan tujuh objektif yang perlu dicapai dalam tempoh enam tahun sehingga 2030 iaitu antaranya memberi tumpuan kepada pembinaan asas yang kukuh dengan memperkasakan tadbir urus dan kepimpinan strategik, di samping rangka kerja perundangan dan peraturan yang mantap.
Ia juga antara lain untuk memperkukuh perlindungan terhadap Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara, memupuk daya tahan siber merentas semua peringkat, menggalakkan inovasi, penyelidikan dan pertumbuhan industri, membangunkan keupayaan siber berdaulat sendiri dan memperkukuh kerjasama keselamatan siber di peringkat antarabangsa.
-FN-