
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 2 Jul (MalaysiaAktif) – Bagi mereka yang mengimpikan percutian ala Jepun tanpa perlu terbang ke negara matahari terbit, The Luxe Yu Villa di Sri Aman kini menawarkan pengalaman seumpamanya lengkap dengan hiasan bertema Jepun, makanan ringan tradisional serta suasana alam semula jadi yang tenang dan mempesonakan.
Diusahakan oleh pasangan suami isteri, Ting Chuong Ping, 37, dan Jassica Law Yan Xin, 35, vila berkonsep Japanese Cuisine itu mengetengahkan rekaan dan suasana yang diinspirasikan sepenuhnya daripada elemen kehidupan tradisional Jepun.

Kawasan persekitaran The Luxe Yu Villa.
Setibanya di The Luxe Yu Villa, pengunjung disambut dengan landskap bertemakan Jepun, pokok bonsai, hiasan batu ala taman zen, bunga sakura tiruan dan pencahayaan lembut daripada lampu kertas and? yang mencetuskan aura seperti di kawasan pergunungan Kyoto atau bandar onsen seperti Hakone.
Di dalam vila, bilik penginapan direka dengan elemen sh?ji (pintu gelongsor kertas) dan perabot kayu minimalis ala rumah tetamu tradisional Jepun (ryokan). Ruang ini mencerminkan falsafah wabi-sabi – keindahan dalam kesederhanaan dan keharmonian dengan alam.
“Kami mahu tetamu rasa seperti berada di Jepun, walaupun hanya di Sri Aman. Setiap sudut kami rancang dengan teliti dari seni hiasan, tekstil, muzik, hingga ke pencahayaan agar ia benar-benar membawa ketenangan dan suasana luar biasa,” kata Jassica Law, pemilik The Luxe Yu Villa.
Setiap malam dari pukul 5.00 petang hingga 10.30 malam, vila ini dibuka kepada pengunjung luar untuk menikmati makan malam santai dalam suasana Jepun, termasuk menu seperti mochi, takoyaki, oden, sushi mini dan matcha latte.
Tetamu juga boleh menonton tayangan filem luar ruang, menikmati muzik tradisional Jepun dari instrumen seperti koto dan shakuhachi, atau bergambar dengan kimono dan yukata di sudut bergambar bertema Hanami (perayaan bunga sakura).

Ting Chuong Ping dan Jassica Law Yan Xin.
“Kami sediakan khemah jika hujan, dan ruang dalam vila juga terbuka. Suasana hujan dalam khemah sambil minum teh panas itulah salah satu pengalaman Jepun yang sebenar,” jelas Ting Chuong Ping semalam.
Selain sebagai tempat penginapan dan makan malam, The Luxe Yu Villa juga menerima tempahan untuk Majlis ulang tahun, Perjumpaan keluarga atau persendirian, majlis perpisahan, upacara lamaran ‘Marry Me’ dalam suasana romantik Jepun.
Dengan paduan elemen seni bina, budaya, makanan dan suasana sejuk mata memandang, The Luxe Yu Villa bukan sekadar tempat singgah, ia adalah pengalaman seakan berada di Jepun, kini lebih dekat untuk dinikmati masyarakat tempatan.
-RJ-