
Laporan/foto: Ainie Elah (Sarikei)
SARIKEI, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Dua beradik Ahmad Mukhlis Yahya dan Siti Maisara Yahya mencipta kejayaan manis apabila dinobatkan sebagai Johan kategori Qari dan Qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Sarikei 1448H/2026M di Dewan Serbaguna Masjid Ar-Rahmah Kampung Seberang, semalam.
Kemenangan itu melayakkan kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai RM1,500, piala dan sijil penghargaan, selain bakal mewakili Bahagian Sarikei ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Len Talif Salleh berkata penganjuran majlis itu saban tahun menjadi platform penting dalam menyemarakkan syiar Islam serta menggalakkan masyarakat mendalami kitab suci tersebut.
“Tilawah al-Quran bukan sekadar pertandingan, malah menjadi wadah untuk meningkatkan kecintaan terhadap al-Quran serta memperbaiki mutu bacaan dalam kalangan masyarakat.
“Penyertaan yang berterusan daripada pelbagai lapisan masyarakat menunjukkan usaha memartabatkan al-Quran terus mendapat sambutan dan wajar diperkasakan sebagai medium melahirkan generasi yang berilmu serta berakhlak mulia,” katanya ketika menyempurnakan majlis berkenaan.
Lebih membanggakan, kejayaan tersebut merupakan kesinambungan legasi keluarga yang dekat dengan al-Quran apabila bapa mereka yang merupakan guru mengaji tempatan turut menyertai pertandingan dan menerima hadiah saguhati.
Pencapaian itu membuktikan didikan agama serta kecintaan terhadap al-Quran yang dipupuk sejak usia muda mampu melahirkan generasi berwibawa serta meneruskan tradisi kecemerlangan dalam bidang tilawah.
Sementara itu, Awang Nurizal Awang Kenit muncul Naib Johan bagi kategori Qari, manakala Latipah Abang Hassan bergelar Naib Johan kategori Qariah dengan kedua-duanya menerima wang tunai RM1,000, piala dan sijil penghargaan.
Tempat ketiga pula disandang oleh adik kepada johan kategori Qari iaitu Uwais Al-Qarni Yahya, manakala Siot Tol memenangi kategori Qariah dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM700, piala serta sijil penghargaan.
-RJ-






