Skip to main content
Berita TempatanSabah

IKS Sabah Raih Jualan RM95.9 Juta di Ekspo Antarabangsa

By 20 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: R.Fauzi Abd Lahap/Rafidawati Mohd.Taip@Muktar (Sandakan)

SANDAKAN, 27 Jul (MalaysiaAktif)– Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah merekodkan potensi jualan sebanyak RM95.9 juta menerusi 18 ekspo perdagangan antarabangsa sepanjang tahun 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata jumlah tersebut hasil penglibatan 124 usahawan IKS dengan peningkatan sebanyak 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada 2024.

Jelasnya, pencapaian itu membuktikan produk keluaran Sabah memiliki kualiti, keunikan dan daya saing untuk menembusi pasaran antarabangsa antaranya melalui Gerakan Nasional Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA).

“Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan JOM MALAYSIA berkongsi matlamat yang sama iaitu memperkasa usahawan tempatan, meningkatkan nilai tambah produk serta perkhidmatan, selain memperluaskan akses pasaran bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

“Sinergi ini membentuk rantaian pembangunan yang lengkap bermula daripada pemerkasaan usahawan dan pembangunan produk sehingga peluasan pasaran, selaras aspirasi local to global di bawah SMJ 2.0,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, ketika merasmikan Festival JOM MALAYSIA 2026 di Kompleks Sukan Sandakan baru-baru ini.

Hajiji berkata, dengan anggaran penduduk seramai 3.8 juta orang serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri berjumlah RM88.8 bilion yang berkembang 5.1 peratus tahun lalu, Sabah kini muncul sebagai antara pasaran pengguna terbesar dan paling dinamik di Malaysia Timur.

“Kerajaan negeri menerusi SMJ 2.0 terus memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Bantuan SME-UP yang diterajui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dengan peruntukan RM15 juta bagi membangunkan 600 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Program Sabah Ready-to-Eat (RTE) turut diperkenalkan bagi membantu mengkomersialkan produk makanan tempatan melalui penyediaan geran pembangunan, bantuan mesin retort serta sokongan pensijilan halal bagi meningkatkan kebolehpasaran produk,” ujarnya.

Tambahnya, sektor pelancongan juga memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi local to global, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027.

“Sabah merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat dengan hasil pelancongan berjumlah RM8.74 bilion pada tahun lalu, sekali gus membuktikan potensi besar sektor itu sebagai pemangkin promosi produk dan perkhidmatan tempatan,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda