Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Keselamatan Siber Anak Tuntut Peranan Ibu Bapa, Sekolah

By 8 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ianabella Raeng (Sarawak)

KUCHING, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Penggunaan gajet tanpa pemantauan masa kini didapati meningkatkan risiko ancaman siber terhadap kanak-kanak, sekali gus menuntut peranan aktif ibu bapa dan sekolah dalam melindungi generasi muda.

Di sebalik manfaat teknologi sebagai medium pembelajaran serta hiburan, kanak-kanak kini berdepan pelbagai ancaman maya termasuk pemangsa seksual, buli siber, penipuan dan pendedahan kandungan tidak sesuai yang menjejaskan perkembangan emosi dan akademik mereka.

Seorang ibu dari Kuching, Betti Angreani, 40, berkata pengalaman anaknya hampir menjadi mangsa individu tidak dikenali dalam permainan dalam talian membuka matanya mengenai kepentingan pemantauan internet.

“Sejak kejadian itu, saya sedar ibu bapa tidak boleh menganggap permainan dalam talian sebagai ruang yang selamat sepenuhnya. Anak-anak perlu sentiasa dipantau dan dididik supaya tidak berkongsi maklumat peribadi dengan orang yang tidak dikenali,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Pandangan tersebut turut dikongsi guru dari Lundu Tonny Wilder Pemiak, 46, yang menyifatkan penggunaan gajet secara berlebihan tanpa kawalan boleh mengurangkan kemahiran sosial kanak-kanak akibat kurang berinteraksi secara bersemuka.

“Pendedahan berterusan kepada kandungan digital turut mempengaruhi penggunaan bahasa dalam kalangan murid sehingga menjejaskan penguasaan tatabahasa dalam komunikasi harian dan penulisan peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, guru dari Kota Samarahan Amiruddin Muhiddin, 37, berkata pemerhatiannya mendapati murid yang menghabiskan banyak masa dengan gajet sehingga lewat malam sering mengantuk, hilang fokus dan mudah mengabaikan pelajaran di sekolah.

“Penggunaan gajet secara berlebihan turut menyebabkan murid kurang berinteraksi secara bersemuka, kurang aktif bersukan, sukar memberi tumpuan di dalam kelas serta berisiko menjadi mangsa penipuan, eksploitasi dan kandungan yang tidak sesuai dengan usia mereka,” katanya.

Justeru, kerjasama erat antara ibu bapa, sekolah dan masyarakat amat penting bagi melahirkan generasi digital yang celik keselamatan siber serta memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab.

Ibu bapa disaran proaktif menetapkan had masa penggunaan dan memantau aktiviti dalam talian anak, manakala sekolah perlu memperkukuh pendidikan literasi digital supaya murid mampu mengenal pasti sebarang ancaman maya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda