
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Malaysia Airport
SHAH ALAM, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) diminta tidak panik sekiranya melihat kehadiran kenderaan kecemasan, asap, replika pesawat atau bunyi siren di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam pada 16 Julai ini.
Malaysia Airports menerusi satu kenyataan, memaklumkan situasi berkenaan adalah sebahagian daripada Latih Amal Ex-Urban Falcon 2026, iaitu latihan skala penuh kemalangan udara yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang.
Latihan itu dianjurkan bersama PROLINTAS dan Jabatan Penerbangan (JAPEN) sebagai sebahagian Program Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor serta PROLINTAS-DASH.
Menurut kenyataan itu, latihan berkenaan bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan, koordinasi serta keberkesanan tindakan balas semua agensi berkaitan dalam menghadapi situasi kecemasan.
“Pelaksanaan latih amal bencana udara ini mempunyai objektif utama untuk menilai dan menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi serta tindak balas dalam mendepani sebarang situasi kecemasan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan sama memaklumkan, program tersebut turut berfungsi menguji respons pelbagai agensi keselamatan dan kecemasan yang terbabit dalam pengurusan insiden.
“Sepanjang tempoh latihan dijalankan, pengguna Lebuhraya DASH dan orang awam dinasihatkan agar memberi kerjasama sekiranya melihat kehadiran kenderaan kecemasan, asap, replika pesawat, bunyi siren atau aktiviti simulasi di sekitar kawasan R&R Denai Alam,” katanya.
Orang ramai turut diminta mematuhi arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran latihan dan mengelakkan sebarang gangguan terhadap operasi simulasi.
Malaysia Airports, PROLINTAS dan JAPEN turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama yang diberikan bagi memastikan latihan itu dapat dilaksanakan dengan selamat serta lancar.
-RI







