
Laporan/foto: Dr. Nur Aishah Zainal/Facebook Ab Rauf Yusoh
AYER KEROH, 12 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Melaka akan memperkenalkan Program Mula Melaka bermula hujung Ogos ini dengan peruntukan RM1 juta bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta membantu pembangunan usahawan tekno.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata dana pembangunan tekno-usahawan itu disediakan sebagai geran permulaan bagi membantu usahawan TVET memperoleh peralatan, memperkukuh perusahaan serta melengkapkan keperluan sijil dan pelesenan perniagaan.
“Dana Pembangunan Tekno-usahawan itu disediakan sebagai geran permulaan bagi membantu usahawan TVET dari pelbagai aspek khususnya dalam memperoleh peralatan, memperkukuh usahawan dan melengkapkan keperluan sijil serta pelesenan perniagaan.
“Usaha berterusan dilakukan bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan berasaskan kepada bidang ini di mana berdasarkan statistik, kadar bekerja graduan TVET dan universiti di Melaka menjadi antara yang tertinggi di negara ini, iaitu sekitar 95 hingga 98.8 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival TVET Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Beliau berkata Melaka kini mempunyai 408 pemain industri daripada 18 sektor utama yang menjadi rakan strategik dalam menyediakan latihan, pendedahan industri serta peluang pekerjaan kepada graduan TVET.
Katanya, pembangunan tiga lagi kawasan perindustrian strategik di negeri itu dijangka mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan industri berkaitan.
Tambahnya lagi, inisiatif baharu Kerajaan Negeri Melaka itu diwujudkan bagi memperkasa usahawan tekno, khususnya dalam kalangan alumni TVET negeri, untuk memulakan atau mengembangkan perusahaan berasaskan tujuh kluster utama dalam bidang kemahiran, teknologi dan inovasi selaras dengan pembangunan mampan.
“Hasrat kerajaan cukup jelas di mana kita tidak mahu ianya berkesudahan dengan pelbagai inisiatif mahupun pemegang sijil semata-mata tetapi apa yang dimahukan graduan dalam bidang ini berakhir dengan kerjaya dan kehidupan yang lebih baik selari dengan makna sebenar TVET kepada Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
-AA-




