
Laporan/foto: Krithika Moovarasan/Hazlina Tajuddin (Selangor)
SUBANG JAYA, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh agenda ekonomi kreatif menerusi pelancaran Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026, satu inisiatif berprestij yang bukan sahaja memperkasa industri ekonomi kreatif, malah mengangkat Batik Selangor sebagai identiti negeri yang bernilai tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Program yang merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 itu memberi tumpuan kepada pembangunan sektor seni dan warisan sebagai antara pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri, di samping mencungkil bakat baharu dalam penghasilan reka bentuk batik.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata kerajaan negeri kini memberi penekanan lebih besar kepada sektor ekonomi kreatif berikutan potensinya sebagai antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
“Kalau sebelum ini kita memberikan fokus kepada usahawan-usahawan di peringkat SME (perusahaan kecil dan sederhana), tetapi penggal ini kita memberi lebih tumpuan kepada sektor ekonomi kreatif kerana segmen ini antara yang banyak menjana revenue kepada negeri dan juga negara, namun tidak begitu diberi perhatian.
“Pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu, malah bertindak sebagai pemangkin pembangunan industri batik melalui penghasilan reka bentuk yang kreatif, inovatif serta mempunyai nilai komersial tinggi,” katanya pada Sidang Media dan Majlis Pelancaran Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026, di sini semalam.

Mohd Najwan bersama barisan juri Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026.
Menurut Mohd Najwan, pertandingan tersebut turut mendapat perkenan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin untuk menggunakan nama baginda sebagai identiti rasmi pertandingan, sekali gus mencerminkan sokongan institusi Diraja terhadap usaha memartabatkan seni warisan dan industri batik negeri.
Ujarnya, kerajaan negeri yakin melalui usaha kolektif ini, Batik Selangor bukan sahaja akan terus dipelihara sebagai warisan budaya negeri, malah berpotensi berkembang menjadi jenama kreatif bertaraf antarabangsa yang mampu mengharumkan nama Selangor dan Malaysia di persada dunia.
“Kita akan anjurkan program ini dalam tempoh masa 20 minggu sehingga bulan November nanti dan peserta yang disenarai pendek akan diberi ruang memperagakan hasil batik mereka dalam satu majlis khusus yang dicadangkan di Bangunan Sultan Abdul Samad,” kata Mohd Najwan.
Bertemakan ‘Warisan, Identiti dan Inovasi’, Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026 mempertandingkan dua kategori utama iaitu Fashion Batik Selangor dan Lukisan Batik Selangor dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM90,000.
Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026 turut mendapat sokongan strategik daripada Institut Kraf Negara dan Persatuan Batik Malaysia.
-RI




