
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Rata-rata pelajar universiti yang ditemui di sini akur dan menyokong penuh tindakan kerajaan mewajibkan mereka mengambil vaksin yang lengkap bagi mengikuti pengajian secara hibrid di kampus.
Bagi pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Nureen Aelyana Salehhuddin, 20, yang kini menduduki tahun pertama dalam program pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin), berkata beliau dan rakan-rakan menyokong tindakan kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin berkenaan.
“Seperti yang sedia maklum, bermula Oktober ini, institusi pengajian tinggi (IPT) akan mula dibuka untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Justeru, dengan pengambilan vaksin yang lengkap secara tidak langsung akan mewujudkan satu persekitaran selamat di dalam kampus,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Bagi rakannya, Mohd Hafiz Zulkifli, 24, yang kini sedang mengikuti program pengajian yang sama berkata beliau sentiasa mengalakkan rakan-rakanya yang lain supaya mengambil vaksin COVID-19.
“Pada pendapat saya, pengambilan vaksin ini untuk kebaikan masa depan saya dan semua pelajar di sini kerana, apabila telah vaksin pergerakan kita tidak terhad dan yang paling ditunggu-tunggu adalah untuk hadir ke kuliah dalam keadaan imuniti kelompok yang selamat sebagai pelindung diri,” katanya.

Mohd Hafiz sentiasa mengalakkan rakan-rakan untuk mengambil vaksin yang lengkap demi lindungi dir dari wabak.
Sementara itu, pelajar jurusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Senibina Kapal) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd Nazhan Iqmal Mat Bakri, 23, berkata beliau sentiasa bersikap optimis berkaitan saranan kerajaan supaya mengambil vaksin.
“Pada awalnya saya ragu-ragu dan takut untuk mengambil vaksin namun perasaan itu hilang setelah semua ahli keluarga selesai menerima vaksin COVID-19 sebulan yang lalu.
“Semasa ayah saya menerima vaksin, saya sebenarnya sudah mula rasa takut, tetapi akhirnya saya memberanikan diri setelah membuat bacaan lanjut di laman media sosial mengenai kebaikan vaksin ini,” katanya selepas menerima suntikan vaksin di PPV Stadium Tertutup Gong Badak.

Nazhan Iqmal sentiasa mengharapkan pandemik ini segera berakhir supaya dapat menikmati pembelajaran seperti sediakala.
Ahad lalu, di dalam satu kenyataan media, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak lengkap dua dos vaksin COVID-19 tidak dibenarkan kembali menyambung pengajian di kampus masing-masing.
Menurutnya lagi, para pelajar pengajian tinggi perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan hanya dibenarkan kembali ke kampus selepas menerima dos vaksin lengkap.
-ii-