Skip to main content
Berita TempatanMASarawak

Program Juh Sungke Lundu Himpun Lebih 2,000 Pengunjung

By 8 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Indah Putra/Denis/Aishah Latip (Lundu)

LUNDU, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Program Juh Sungke Daerah Lundu 2026 menghimpunkan lebih 2,000 pengunjung sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim masyarakat setempat sempena Ramadan.

Nancy Shukri meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung yang hadir memeriahkan Program Juh Sungke di CENTEXS Lundu, semalam.

Program julung kali dianjurkan di daerah ini merupakan kerjasama Pejabat Daerah Lundu, Malaysia Youth Social Entrepreneurs Development (MYSED) serta Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS).

“Program seperti ini mencerminkan semangat perkongsian rezeki serta kebersamaan dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri ketika menyempurnakan program tersebut di sini semalam.

Dalam program tersebut, seramai 200 asnaf menerima sumbangan wang zakat daripada keseluruhan 600 penerima yang dikenal pasti di kawasan Santubong.

Sebanyak 300 bakul makanan turut diagihkan kepada penerima layak hasil sumbangan MYSED, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL) serta Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Shazwina melihat program Juh Sungke sebagai salah satu usaha untuk mengeratkan hubungan penduduk setempat.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, gerai makanan tempatan seperti kambing golek serta kuih-muih tradisional selain pameran agensi termasuk Akademi Kenegaraan Malaysia, CENTEXS Lundu serta Jabatan Penerangan Daerah Lundu.

Salah seorang pengunjung, Shazwina Sahwan, 27, berkata, beliau datang selepas melihat hebahan di media sosial dan mendengar dari saudara-mara.

“Program sebegini menunjukkan masyarakat kita boleh berkumpul dan erat walaupun berlainan latar belakang,” katanya ketika ditemu ramah semalam.

Sementara itu, Mohamad Faizul, 41, berharap program ini diteruskan setiap tahun kerana ia bukan sekadar untuk berbuka puasa, tetapi sebagai platform untuk berinteraksi dan memperkukuhkan perpaduan.

Program Juh Sungke menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Lundu melalui aktiviti berbuka puasa bersama serta penglibatan komuniti setempat sepanjang Ramadan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda