
Laporan/foto: Jeanne J Som/Vicky S. Matanjang (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Okt (Malaysiaaktif) β Persatuan etnik di negeri ini disaran memperkasakan warisan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, berkata usaha itu penting agar warisan budaya daripada kepelbagaian etnik di negeri ini tidak terpinggir dalam arus kemodenan serta teknologi masa kini.
“Sekurang-kurangnya, etnik itu tidak akan pupus begitu sahaja tanpa diketahui kewujudannya di Sabah.
“Penduduk Sabah sendiri ada lebih daripada 30 etnik dengan menggunakan lebih 50 bahasa dan tidak kurang daripada 90 dialek.

Tun Juhar (tengah) memotong kek dengan ditemani oleh Isteri Yang DiPertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Hajiji (dua dari kiri).
“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu lebih banyak warisan budaya yang dimiliki ini diketengahkan bukan saja kepada dunia luar tetapi juga anak bangsa kita sendiri yang belum mengetahuinya.
“Tarian seperti limbai, sumazau dan magunatip mungkin sudah diketahui ramai tetapi saya percaya dengan lebih 30 etnik di Sabah, masih banyak lagi warisan budaya lama yang perlu diselongkar, agar tidak pupus ditelan zaman,” katanya ketika merasmikan Hari Etnik Sabah sempena Hari Jadi Rasmi ke-68 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di sebuah hotel, di sini semalam.

Hajiji (kiri) menyampaikan hadiah Pertandingan Lagu-lagu Pilihan Etnik Sabah 2021 kepada Datuk Jelani Hamdan.
Hajiji berharap generasi muda akan mengambil tahu tentang kebudayaan kaum sendiri bagi membolehkan setiap amalan budaya tradisional terus kekal.
βKita tidak mahu keprihatinan terhadap sumbangan seni dan budaya sendiri dilihat semakin terhakis oleh arus perkembangan pesat dunia globalisasi.
“Lebih merisaukan apabila kita kehilangan warisan budaya tradisional begitu sahaja kerana tiada pewarisnya,β ujar beliau.
Dalam majlis sama Hajiji turut menyampaikan beberapa anugerah, antaranya Anugerah Penggiat Bahasa (Persatuan), Anugerah Guru Bahasa (Jabatan Pendidikan Negeri) serta Anugerah Utama Penggiat Bahasa Sabah 2021.
Sementara itu, “Bahasa etnik – Bahasa Ku, Nadi Budaya Ku” dipilih selaras dengan tema Kempen Bahasa Sukuan Sabah Tahun 2021 oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) yang juga sebagai persediaan untuk “International Decade of the World’s Indigenous Language (DILA 2022-2032)”.
-RI