Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Samsul Amri Samsuri (Larut Matang dan Selama)
SELAMA, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Daerah kecil Selama telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021 bagi peringkat negeri Perak Darul Ridzuan.
Bertemakan ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’, sambutan pada kali ini diraikan dalam keadaan yang cukup meriah dengan kehadiran para tetamu yang dijemput khas daripada jabatan-jabatan kerajaan dalam mendokong hasrat kerajaan negeri Perak dalam membudayakan ‘Perak Bumi Lestari’.
Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad, berkata negeri Perak telah memilih daerah Selama sebagai tuan rumah bagi Hari Alam Sekitar Negara pada tahun ini kerana daerah ini dianggap unik dan masih mengekalkan kehijauan di muka bumi tanpa ada sebarang kegiatan haram dilakukan di sini.
“Konsep pengumpulan ‘E-Waste’ daripada barang-barang terpakai yang boleh dikitar semula, mampu menyelamatkan bumi untuk generasi yang akan datang, disamping dapat menjana pendapatan kepada mereka yang mendermakan barang-barang yang tidak digunakan lagi.
“Inisiatif ini disokong baik oleh masyarakat yang tinggal di kawasan setempat khususnya di daerah masing-masing,” kata beliau ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021, di Dewan Majlis Daerah Selama, di sini semalam.
Tambah beliau, program pada kali ini juga diserikan lagi dengan gimik perasmian penanaman pokok bagi merasmikan Taman Hari Alam Sekitar Negara di perkarangan luar Dewan Majlis Daerah Selama dan juga penyampaian anugerah penghargaan serta hadiah kepada pemenang yang menyertai pertandingan sepanjang kempen ini berlangsung.
“Antara pertandingan-pertandingan yang telah dianjurkan sepanjang program berlangsung bagi tahun 2021 adalah pertandingan Kuiz Online Alam Sekitar, Anugerah Ikon Muda Alam Sekitar, Pertanding ‘E-Waste’, Pertandingan Menulis Karya Puisi dan Pantun Alam Sekitar, dan banyak lagi,” jelas beliau lagi.
~RJ~