Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jambatan Utama Yang Baharu Dibaiki Sebulan Rosak Kembali

By 23 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh Fezieana Anak Rajasmi, Zamlan Ramle & Mohd Yusrie Othman (Sabah)

 BEAUFORT, SABAH, 23 Jan 2016 (Malaysiaktif) –? Jambatan utama menghubungkan penduduk Kampung Lubok dengan pusat bandar Beaufort yang baru siap dibaiki Disember lepas kembali rosak dan membahayakan keselamatan penduduk.

Kerosakan ini mengecewakan dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang mendakwa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Beaufort tidak serius membaiki kemudahan yang menjadi nadi utama penduduk kampung tersebut.

 

jambatan beaufort2

 

Penduduk mendakwa kerosakan tersebut disedari sejak empat hari lalu dan menyebabkan banyak urusan harian terganggu kerana pengguna terpaksa turun dari kenderaan setiap kali ingin menyeberangi atau menggunakan jambatan berkenaan.

“Bagi penduduk kampung yang tiada pilihan terpaksa menggadaikan nyawa melalui jambatan tersebut walaupun mengetahui struktur jambatan yang menurun dan akan runtuh,” kata Jamaludin Haji Ibrahim, salah seorang penduduk Kampung Lubok

Ketua Kampung Lubok, Masri Abdul Latip berkata beliau telah membuat aduan pada 20 Januari lepas kepada pihak JKR melalui telefon, tetapi sehingga sekarang masih belum ada tindakan.

Susulan itu, seorang lagi penduduk, Haji Muhyiddin Mokten sekali lagi bertindak membuat aduan di Pejabat JKR pada pukul 2.30 petang Khamis dengan harapan pembaikan dapat dilakukan.

Jurutera Bahagian JKR Beaufort, Baharuhom K.K. Sogon, memaklumkan bahawa aduan tersebut telah diambil maklum dan beliau telah mengarahkan agar jambatan tersebut ditutup sehingga kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Beliau berkata sebuah syarikat kontraktor telah dilantik bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dan berharap penduduk dapat bersabar kerana ia akan memakan masa disebabkan bahan binaan masih dalam proses penghantaran ke kawasan terbabit.

Menurut Baharom, kerja-kerja pembaikan yang dilakukan sebelum ini hanyalah pembaikan rutin.

 

Tinggalkan komen anda