
Laporan/foto: Surega Vasuthevan (Melaka Tengah)
PENGKALAN BATU, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Bulan Ramadan hampir ke penghujung dan kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri semakin hangat terasa tidak kira di mana-mana sahaja.
Bagi menambahkan suasana tersebut Pejabat Penerangan Daerah Melaka Tengah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pengkalan Batu menganjurkan aktiviti Kacau Dodol Perdana dan Sambutan Malam Tujuh Likur dalam Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA), di sini semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Noordin, program JIWA ini harus diteruskan kepada setiap lapisan masyarakat bagi meningkatkan keinsafan dan fahaman rakyat terhadap dasar-dasar serta inisiatif kerajaan berlandaskan konsep Malaysia Madani yang telah digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan.
“Sejumlah 300 warga Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu berhimpun sama dalam aktiviti Kacau Dodol Perdan ini berjaya mencapai tujuan program JIWA mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat khususnya dalam bulan mulia ini,” ujarnya.
Ketua Menteri Melaka turut hadir menyantuni masyarakat setempat serta merasmikan Sambutan Malam Tujuh Likur di Kompleks JAPERUN Pengkalan Batu.
-ZS-