
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Dalam usaha untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran semasa musim perayaan ini, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 yang berkuatkuasa mulia 15 April hingga 30 April 2023.
Muhammad Zahir Mazlan Pengarah KPDN Negeri Sembilan, berkata langkah ini bagi membolehkan pengguna mendapatkan barangan keperluan yang dikawal pada harga barangan yang telah ditetapkan oleh pihak KPDN.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP HRP 2023 adalah selama 16 hari iaitu tujuh hari sebelum, dua hari semasa dan tujuh hari selepas perayaan Aidilfitri. Sebanyak 30 jenis barangan akan dikawal di bawah skim ini termasuk enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur di bawah Penetuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari 2022.
“Pegawai penguat kuasa KPDN Negeri Sembilan telah ditugaskan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” kata Muhammad Zahir di Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Pasar Raya MYDIN, Seremban 2 hari ini.
Tambahnya lagi, peniaga di negeri ini dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna hendaklah mengambil tahu berkaitan hak dan tanggungjawab masing-masing.
“Skim yang dilaksanakan ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan Veerapan Superamaniam.
-ZS-