Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Kerajaan menerusi Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) mengenal pasti sembilan sektor tumpuan melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion.
Sembilan sektor tersebut adalah pelancongan digital, pertanian digital, bandar digital, kandungan digital, kewangan digital, perdagangan digital, servis digital, kesihatan digital dan ekonomi digital Islam.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil, kerajaan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan memperuntukkan dana sejumlah RM192.9 juta bagi tempoh 2023-2025 bagi menyokong inisiatif-inisiatif di bawah PEMANGKIN.
“Kami sangat menggesa sektor swasta untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mewujudkan ekosistem teknologi yang lebih padu, inklusif dan inovatif.
“Terdapat banyak peluang untuk kita berkembang bersama, terutamanya di bawah Malaysia Digital dan pelbagai program PEMANGKIN,” kata Fahmi ketika berucap pada Majlis Pengumuman PEMANGKIN di Bangsar Selatan, hari ini.
Beliau yakin PEMANGKIN akan bertindak sebagai pemangkin untuk melengkapkan tenaga kerja negara dengan kemahiran digital, memacu inovasi teknologi dan sekali gus menarik pelabur asing untuk mewujudkkan pusat pengoperasian di Malaysia.
MDEC juga akan memperkenalkan tiga geran digital di bawah PEMANGKIN untuk menyokong pertumbuhan mampan ekosistem teknologi pada Mei ini.
Inisiatif KKD ini juga dijangka bakal mewujudkan 49,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.
-ZS-