
Laporan/foto: Liza Abdullah/AgKu Marzuki Ag Latip (Sabah)
TAWAU, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Artifak peninggalan Nabi Muhammad SAW dan puteri baginda, Saidatina Fatimah az-Zahra dijangka menjadi tarikan utama Program Gelombang Berselawat Ambang Maulidur Rasul.
Pengerusi Penganjur program, Liana Friska Ramlee, berkata lebih 50 artifak akan dipamerkan termasuklah helaian rambut baginda, janggut, kiswah dan jubah yang dibawakan khas daripada Negara Brunei Darussalam.
“Selain itu, turut diadakan pertandingan nasyid, pertandingan azan dan hafazan, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan bercerita kisah nabi dan pertandingan kompang,” ujarnya ketika ditemui dalam sidang media khas Program Gelombang Berselawat, di sini pada Rabu.
Tambahnya, program tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula 29 September (hari ini) hingga 1 Oktober di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
“Tujuan utama penganjuran program tersebut adalah untuk menghimpunkan seramai 50 ribu umat Islam untuk bersama-sama berselawat ke atas nabi junjungan mulia pada malam kemuncak program nanti.
“Oleh itu, pengunjung digalakkan memakai pakaian bertemakan putih dan hitam pada malam kemuncak Program tersebut,” ujarnya.
Program ini merupakan kolaborasi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), usahawan tempatan di daerah ini dengan kerjasama Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan dijangka akan merasmikan program tersebut.
-ZS-