
Laporan/foto: Faiza Hani Adnan (Melaka)
JASIN, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Perkongsian daripada pihak industri dan alumni memberi nilai tambah kepada pelajar dalam memahami kehendak majikan, teknologi semasa serta kompetensi yang diperlukan dalam dunia pekerjaan, kata Pengarah Kolej Komuniti Jasin Sr. Mohamad Kelana Juwit.
“Program selama dua hari itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai amalan sebenar industri logistik dan rantaian bekalan melalui sesi perkongsian berkaitan peranan logistik dalam pengedaran produk makanan segera, cabaran industri serta pengurusan rantaian bekalan di peringkat global,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Program Industry On Campus (IOC) anjuran Kolej Komuniti Jasin (KKJS) di Auditorium KKJS, di sini semalam.
Penampilan Pengarah Urusan Al Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd. Tajul Ariffin Abdullah dan alumni SLK Nurul Shafira Ismail dalam Sesi Dialog Industri memberi peluang berkongsi pengalaman kerjaya serta keperluan semasa industri kepada para pelajar yang hadir.

LOI antara KKJS dan Al Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd. memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan bakat, latihan industri dan perkongsian kepakaran.
Program anjuran Program Sijil Perkhidmatan Logistik (SLK) dengan kerjasama Al Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd. pada 21 hingga 22 Julai itu mempericikan kepada pelajar persediaan yang diperlukan sebelum melangkah ke alam pekerjaan, di samping meningkatkan motivasi mereka untuk terus memperkasakan kemahiran dan kompetensi diri.
Program disempurnakan dengan Majlis Menandatangani Surat Niat (LOI) antara KKJS dan Al Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan bakat, latihan industri dan perkongsian kepakaran.
Kerjasama itu diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kolaborasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, sekali gus memperkukuh usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar lebih responsif terhadap keperluan industri serta melahirkan graduan yang kompeten, berkualiti dan berdaya saing.
-RI




