
Oleh Mohd Hizami Bin Mohd Hanip (Gombak)
GOMBAK, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini telah mengadakan sambutan Hari Kesihatan Dunia 2016 Peringkat Kebangsaan, bertempat di Dewan Serbaguna Taman Sri Keramat.
Bertemakan ‘Tumpaskan Diabetes: Tingkatkan Pencegahan, Kukuhkan Rawatan dan Mantapkan Saringan’, majlis ini dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya , Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia.
Dato Seri Dr.Hilmi dalam ucapannya berkata, tema ini dipilih bagi memperingatkan masalah penyakit kronik yang menjadi masalah besar kepada pesakit di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Tambah beliau, masyarakat perlu mengetahui cara menjaga kesihatan diri daripada penyakit yang menyerang organ utama seperti jantung dan buah pinggang, sehingga menyebabkan pesakit mengalami kegagalan buah pinggang berfungsi, penyakit jantung, buta akibat glaukoma, penyakit strok, masalah hati yang menyimpan lebihan lemak dan lain lain lagi penyakit yang boleh membahayakan nyawa.
Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia mempunyai peratusan penyakit diabetes yang tinggi menunjukkan masyarakat Malaysia kebanyakkannya menjalankan kehidupan seharian yang kurang sihat.
Beliau turut mengingatkan penyakit diabetes boleh dicegah dengan mengekalkan diet seimbang, bersenam dan tidak merokok. Pesakit diabetis juga diminta untuk mematuhi temujanji dengan doktor dan mengamalkan pemeriksaan glukosa serta mengawal diet seharian setiap hari.
Ujar beliau , untuk menggalakkan masyarakat menjalani kehidupan yang sihat, kerajaan telah merangka pelbagai program penjagaan kesihatan. Antaranya dengan mewujudkan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN), sebuah komuniti yang menjalankan aktiviti kesihatan dan penerangan tentang penjagaan kesihatan diri dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia.
Beliau turut memberitahu sempena Hari Kesihatan ini, ia akan menjadi platform bagi kerajaan untuk menyebarkan maklumat tentang bahaya penyakit diabetis, langkah pencegahan dan kawalan penyakit diabetis di kalangan masyarakat Malaysia.
Beliau seterusnya melancarkan Buku Management of Type 2, Diabetes Mellitus yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyediakan panduan rawatan Penyakit Diabetes Mellitus.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena sambutan hari kesihatan ini, diantaranya Senaman Zumba, Demonstrasi Masakan Kesihatan, Kuiz, Forum Kesihatan Diabetes, Pemeriksaan Percuma Kesihatan, Kaunseling Kesihatan, Sketsa dan lain lain.
Program ini dihadiri hampir 1000 orang yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, pelajar kolej kesihatan, KOSPEN, sukarelawan dan penduduk setempat.