Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

‘Coq Udang Singgit’ Guna Ramuan Turun-Temurun

By 5 September 2024September 29th, 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat

KANGAR, 5 Sep (Malaysiaktif) – Kampung Hujung Tanjung adalah antara kampung yang lebih dikenali sebagai Kampung Warna Warni yang terletak di Kuala Perlis.

Antara daya tarikan bagi pelancong dan pengunjung adalah panorama keindahan muara sungai Kuala Perlis dan laut di Jambatan Tuanku Syed Putra.

Menggoreng memerlukan teknik yang betul agar tidak hangus dan melekat.

Kampung Warna Warni ini juga menyediakan perkhidmatan berjalan dengan menaiki perkhidmatan ‘choley’ (beca) yang menarik pengunjung untuk bertandang ke sini.

Namun, siapa sangka di sebalik Jambatan Tuanku Syed Putra ini, Kampung Hujung Tanjung kini menjadi tumpuan setelah gerai jualan ‘coq udang singgit’ (cucur udang) milik Wahidah Salleh, yang dijual hanya dengan harga RM1.00 ditularkan oleh seorang pempengaruh tempatan

Wahidah Salleh, 53, yang berasal daripada Sik, Kedah dan suaminya Musa Ali, 53, yang tinggal di Kampung Hujung Tanjung tidak menyangka percubaan menjual cucur udang berharga seringgit ini, kini mulai tular bukan hanya dalam kalangan penduduk sekitar namun ada pengunjung yang datang dari Pulau Langkawi, Kelantan dan juga Pulau Pinang datang mencuba cucur udangnya.

“Saya sebenarnya mengusahakan kecil-kecilan udang kering yang di usahakan dari rumah sahaja, namun apabila beberapa minggu kebelakangan ini cuaca yang sering hujan membuatkan saya mencuba menjual cucur udang dengan harga singgit (RM1) di tepi Jambatan Tuanku Syed Putra, dan alhamdulillah kini mula mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.

Kuah cucur udang seperti ini jarang dijumpai.

Bermula dengan 2 kilogram (kg) udang, kini jualan di gerainya telah mencecah sehingga 25 kg udang segar setiap hari. Wahidah yang mempunyai sembilan cahaya mata menyatakan pembuatan cucur udang ini dibuat dengan ramuan turun-temurun daripada ibunya.

“Kebiasaannya, resepi cucur udang adalah sedikit udang, tepung dan disaji bersama kuah sama ada kuah kacang atau kuah sos daripada sos botol. Tetapi saya menggunakan ramuan turun-temurun ibu saya iaitu menggunakan tepung beras, serai, sedikit ayaq kapoq (air kapur) dan beberapa ramuan daripada daun herba, ketika membuat bancuhan tepung dan udang yang diguna adalah udang segar dan baru serta salutan tepung yang nipis sahaja.

“Kuah cucur udang pula saya menggunakan bahan seperti cuka, cili api dan juga bawang,” katanya.

Perniagaan kecil-kecilan oleh Wahidah bersama suaminya yang kini di kenalu sebagai ‘Coq Udang Singgit Kola’ mendapat perhatian masyarakat setempat dan juga pengunjung yang datang ke negeri Perlis.

Beliau yang ditemui pagi semalam, menitipkan harapan agar ada pihak yang dapat memberi bantuan untuk mengembangkan perniagaan kecilnya ini.

Percubaan berniaga oleh Wahidah bersama pasangannya ini yang berani mencuba di saat kesulitan adalah seperti peribahasa ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’.

-ZS-

Tinggalkan komen anda