
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
SHAH ALAM, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Kerja pembinaan semula rumah yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dijadualkan bermula hari ini dengan tempoh maksimum siap ditetapkan selama 24 bulan mengikut Akta 118.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, berkata sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk baik pulih rumah yang terjejas menerusi peruntukan Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara.

Amirudin (tengah) menyampaikan Bantuan Sewa Rumah kepada salah seorang mangsa insiden kebakaran Paip Gas Putra Heights Daerah Petaling di SUK Selangor.
Beliau berkata, sejumlah RM6 juta lagi diperuntukkan bagi kerja-kerja pemulihan infrastruktur awam melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang melibatkan tiga kategori bantuan yang telah ditetapkan berdasarkan tahap kerosakan rumah mangsa.
“Kerajaan telah menetapkan bagi kategori pertama, rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan memerlukan pembinaan semula sepenuhnya dengan siling bantuan yang ditetapkan adalah sebanyak RM300,000 bagi setiap unit.
“Bagi rumah kategori kedua kerosakan rumah melebihi 40 peratus tetapi masih boleh dibaik pulih tanpa perlu dibina semula, kerajaan menyediakan bantuan sehingga RM150,000 bagi setiap unit.
“Manakala bagi kategori ketiga iaitu rumah yang mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus, bantuan baik pulih yang disediakan adalah sebanyak RM30,000 seunit,” katanya pada sidang media di Foyer, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, semalam.

Amirudin (tengah) bergambar bersama penerima bantuan sewa rumah di Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Foyer, Bangunan SUK Negeri Selangor
Tambah beliau, Sime Darby Property selaku pemaju utama di Taman Putra Harmoni akan melaksanakan pembinaan semula rumah mangsa manakala kerja baik pulih akan dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), khususnya di Kampung Kuala Sungai Baru.
Dalam sidang media yang sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sejumlah RM2.73 juta diperuntukkan bagi bayaran sewa rumah mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
“Dana itu akan disalurkan kepada 455 keluarga dengan masing-masing menerima RM6,000 bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini.
“Buat masa ini, bantuan sewaan ini telah diserahkan dalam tiga fasa dengan keseluruhannya 214 menerimanya, selebihnya sedang menunggu dokumen lengkap termasuk kad pengenalan,” katanya.
-ZS-