
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 30 peratus peserta Program Usaha Jaya Insan (PUJI) di Labuan telah berjaya mencecah pendapatan lebih RM5,000 sebulan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Mohd Ismail, walaupun tidak sampai setahun dilaksanakan terdapat keberhasilan yang ketara berjaya dicapai.

Rithuan (tengah) , Nordin (dua dari kanan) bersama peserta PUJI yang menerima kelulusan lesen berniaga daripada PL.
“Seramai 100 orang peserta yang layak melalui senarai eKasih terpilih menyertai program ini dan sebahagiannya mendahului sasaran jadual gerak kerja.
“Hampir 75 peratus peserta berjaya menambah dan menjana pendapatan baru yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan seisi rumah dan mereka yang mencecah pendapatan lebih RM5,000 sebulan berpotensi menjadi pemain industri makanan terutama hasilan laut Labuan,” katanya semasa merasmikan Program Peningkatan dan Lonjakan Peserta Upaya@PUJI Labuan, di sini pagi tadi.
Jelasnya lagi, Institut Agro Usahawan (iGROW) sebagai rakan strategik PUJI sudah mengenal pasti sebuah premis yang akan dijadikan sebagai pusat perusahaan peserta PUJI.

Sebahagian usahawan PUJI bersama produk masing-masing yang sudah menembusi pasaran tempatan.
“Premis itu mempunyai gudang tersendiri di lokasi strategik sebagai pusat perusahaan, pembangunan, pengumpulan dan jualan bersepadu bagi memastikan proses penghasilan serta pemasaran produk dilakukan dengan cepat, berkualiti dan menepati syarat pensijilan berkaitan.
“Usaha progresif ini membolehkan Labuan menjadi pengeluar makanan proses terutama hasilan laut yang bertaraf nasional dan antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, PL turut mempermudah kelulusan penempatan gerai peserta PUJI seperti di Taman Mutiara Permai, penukaran syarat gerai di Bukit Kalam serta lain-lain perkara berkaitan perlesenan di bawah bidang kuasa PL dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif iGROW Nordin Abdul Malek.
-ZS-