Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Bantuan Sejahtera MADANI RM50,000 Tingkatkan Pendapatan 10 KIR

By 9 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Hidayah Ismail (Meradong)

BINTANGOR, 20 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 10 Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin eKasih dari daerah Sarikei, Meradong dan Pakan menerima bantuan peralatan bernilai RM50,000 menerusi Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI).

Majlis penyerahan di bawah Skop Peningkatan Pendapatan Tahun 2026 itu disempurnakan oleh Timbalan Residen Bahagian Sarikei Shafrie Saili di Dewan Pejabat Daerah Meradong, hari ini.

Menurut Shafrie, program anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sri Aman) itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan inklusif supaya tiada rakyat tercicir daripada arus kemajuan negara.

“Bantuan disalurkan secara ‘one-off’ dalam bentuk peralatan bagi membolehkan penerima memulakan atau mengembangkan perusahaan sedia ada.

“Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada penerima untuk meningkatkan produktiviti, menjana pendapatan yang lebih stabil serta mencapai kehidupan yang lebih sejahtera selaras dengan matlamat Malaysia MADANI,” katanya.

Menerusi penyerahan tersebut, lapan KIR menerima kelengkapan bengkel manakala dua lagi menerima peralatan membuat kuih-muih mengikut bidang perusahaan masing-masing.

Secara keseluruhannya, inisiatif berkenaan bermatlamat memperkasa ekonomi keluarga berpendapatan rendah melalui penyediaan aset produktif bagi menjana pendapatan mampan, sekali gus mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Zon Sri Aman Radiah Muhamed @ Muhamad, Pegawai Tadbir Daerah Meradong Ting Kai Siang, Pegawai Tadbir Daerah Sarikei Tajuddin Yusop dan Pegawai Tadbir Daerah Pakan Janet Boondar.

Hadir sama, Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei Sawan Madil serta pegawai dari Pusat Khidmat Parlimen Tanjung Manis, Sarikei dan Julau.

-RJ-

Tinggalkan komen anda