
Oleh: Azri Zainal Abidin dan Saharuddin Othman
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak hampir 700 ribu syarikat terlibat dalam program Banci Ekonomi 2016 yang bertemakan ‘Data Berkualiti Untuk Kesejahteraan Masa Hadapan’.
Menurut wakil Ketua Perangkawan Malaysia, Haji Ismail Haji Yusoff, bancian tahun ini melibatkan 75% sektor perkhidmatan, 10.9% sektor pembinaan 10.5% sektor pembuatan, 2.8% sektor pertanian dan 0.8% sektor perlombongan dan kuari.
“Ini termasuk mereka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan badan-badan profesional seperti Majlis Peguam dan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM),” ujarnya.
Ismail yang juga Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi), Jabatan Perangkaan Malaysia ditemui setelah melancarkan Banci Ekonomi 2016 dan Sesi Interaktif bersama responden di Dewan Perdana, Kementerian Pedagangan Antabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.
Banci Ekonomi berperanan mengumpul maklumat lengkap profil kegiatan perniagaan di Malaysia bagi tujuan menyediakan statistik komprehensif untuk penetapan dasar pembangunan negara serta mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu kepada ekonomi.
Banci Ekonomi 2016 bagi tahun rujukan 2015 dijalankan lima tahun sekali iaitu kali pertama pada 2001 dan kali terakhir pada 2011. Banci Ekonomi 2016 telah pun berlangsung bermula sejak April lalu dan akan diteruskan selama tujuh bulan iaitu sehingga November 2016.
Banci dijalankan melalui soalan yang dihantar melalui pos, e-mel dan temu duga. Set soal selidik tersebut mengandungi soalan berkaitan profil industri, aset dan perbelanjaan modal, pendapatan atau perolehan, corak perbelanjaan, maklumat guna tenaga, kemudahan pembiayaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), e-dagang, inovasi, pemasaran dan promosi, import-eksport dan pematuhan alam sekitar.
Set tersebut perlu dikembalikan dalam tempoh sebulan dan sekiranya tidak diterima atau tidak lengkap, pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia akan membuat tindakan susulan terhadap syarikat untuk mengumpul maklumat bancian tersebut.
Maklumat berkenaan Banci Ekonomi 2016 dan cara-cara syarikat dapat mengambil bahagian boleh diperoleh menerusi laman web Jabatan Perangkaan Malaysia, www.statistics.gov.my
DK/SF