
Laporan/foto: Muhd Afiqq/Hazlina Tajuddin (Selangor)
SHAH ALAM, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Seni tulisan tangan mushaf al-Quran menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan antarabangsa di Festival Antarabangsa Seni AL-Quran Restu, anjuran Yayasan Restu bermula dari 24 Januari hingga 2 Februari ini di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.

Mohamed Anwar Abu Bakar memberikan penerangan tentang proses mewarna kepada pelancong luar negara
Menurut Ketua Bahagian Pemasaran dan Perhubungan Awam Yayasan Restu, Mohamed Anwar Abu Bakar, penganjuran festival dan pameran ini adalah untuk menerapkan kesenian budaya al-Quran dalam kalangan pengunjung yang hadir.
“Melalui festival ini, setahun sekali pengunjung berpeluang melihat sendiri proses menulis, menyalin dan mewarna hiasan zukhruf di mushaf al-Quran dengan hanya menggunakan tangan yang mana sebelum ini hanya dilakukan di belakang tabir,” katanya.

Pengunjung menggunakan Realiti Maya atau Virtual Reality (VR) yang memaparkan kisah-kisah nabi
”Yang menariknya, ada pelancong dari United Kingdom begitu teruja dengan tulisan tangan yang masih dipraktikkan oleh pihak Yayasan Restu dalam proses awal menulis dan menyalin mushaf al-Quran walaupun di era serba moden ini.
“Di sinilah letaknya keunikan mushaf al-Quran sehinggalah ia dicetak semula sebagai salinan dan dijual kepada orang ramai,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.
Selain itu, pelbagai aktiviti disediakan seperti pengunjung berpeluang merasai Realiti Maya atau Virtual Reality (VR) yang memaparkan kisah-kisah nabi pada zaman dahulu, pameran seni al Quran, Sirah Nabawiyyah dan al-Haramain serta pengunjung juga boleh membuat tempahan nama Kaligrafi dengan tawaran harga yang berpatutan.
-AA-