Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Gotong-Royong Kampung Peninjau Baru Meriah

By 24 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Jackson Abell (Sarawak)

BAU, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Musim menuai padi di Kampung Peninjau Baru tidak menjadi penghalang kepada penduduk kampung menyertai aktiviti gotong-royong yang bukan sahaja membersih dan mencantikkan persekitaran kawasan kampung mereka malahan meningkatkan semangat hidup bersama dalam komuniti tanpa mengira umur, bangsa dan agama berlangsung meriah sempena Program JIWA: Komuniti MADANI Kemasyarakatan anjuran Pejabat Penerangan Daerah Bau bersama Komuniti MADANI Kampung Peninjau Baru di kampung berkenaan.

Peserta Program JIWA:Komuniti MADANI Kemasyarakatan Kampung Peninjau Baru bergambar beramai-ramai di dewan kampung tersebut pagi semalam.

Dalam ucapan Ketua Komuniti MADANI Kampung Peninjau Baru, Desmond Andrin Aloi, 67, memberitahu program melibatkan penyertaan komunitinya itu mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat yang mencerminkan nilai murni citra Malaysia mereka dalam menjayakan program itu.

“Semangat toleransi, sukarelawan, kerjasama, muhibah dan perpaduan komuniti ini menjadi aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh segenap keluarga dan komuniti di sini terutamanya golongan generasi muda,” katanya semalam.

Pasukan JAPEN Bau melaksanakan sembang santai dan edaran bahan penerbitan JAPEN kepada komuniti sempena program.

Tambahnya, program tersebut juga memberi hasil dan impak positif kepada keluarga dan komuniti dalam memupuk semangat hidup bersama dalam keluarga dan komuniti, bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara, mengamalkan gaya hidup sihat dan amalan sentiasa ringan tulang membantu orang lain yang memerlukan bantuan.

Turut hadir sama ialah Pegawai Penerangan Daerah Bau, Sumardi Sugiman yang menyatakan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada komuniti atas kejayaan penganjuran program itu.

 

 

-RJ-

Tinggalkan komen anda