Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Hidangan Ikonik, Jiwa Perpaduan: Mi Kolok Lambang Asimilasi Budaya

By 1 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 30 Apr (MalaysiaAktif) – Di sebalik keenakan sepinggan mi kolok, tersembunyi kisah panjang tentang asimilasi budaya yang telah menjadikan hidangan tradisional ini simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Pada asalnya diperkenalkan oleh masyarakat Cina, mi kolok suatu ketika dahulu sinonim dengan penggunaan bahan tidak halal. Namun, seiring dengan perubahan zaman, resipinya telah disesuaikan agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk umat Islam, tanpa menjejaskan keaslian rasanya.

Dari pelbagai kaum, berkumpul kerana satu rasa – mi kolok.

Pemilik gerai Mee Kolok Pur Pur di Sri Aman, Baharudin Abdul Karim, 41, merupakan antara individu yang memainkan peranan penting dalam proses asimilasi tersebut.

“Idea menghasilkan versi halal mi kolok tercetus apabila saya berkenalan dengan isteri saya yang berketurunan Cina dan Iban. Dari situ, saya sedar bahawa makanan boleh menjadi jambatan penyatuan antara kaum,” katanya ketika ditemui pagi tadi.

Baharudin yang mengusahakan gerai di Chung Hua Food Court sejak tahun 2019 menggunakan daging ayam dan lembu yang diperap serta dimasak mengikut teknik ‘char siu’, bagi mengekalkan rasa manis dan berempah yang menjadi identiti mi kolok asli.

Mi kolok halal gaya ‘char siu’ ciptaan Baharudin satukan selera pelbagai kaum – manis, berempah dan penuh cita rasa Sarawak.

“Kami juga menambah cendawan cincang, satu bahan yang jarang digunakan dalam versi halal. Ia bukan sahaja memperkayakan tekstur, malah memberi dimensi baharu kepada rasa,” jelasnya lagi.

Menurutnya, pelanggan boleh memilih antara tiga jenis sos iaitu sos merah manis, sos kicap dan sos biasa. “Pelanggan Melayu biasanya gemar sos manis, manakala pelanggan Cina lebih memilih sos biasa. Ini menunjukkan bagaimana selera pelbagai kaum diraikan melalui satu hidangan,” katanya.

Fenomena asimilasi budaya dalam makanan bukan perkara asing di Sarawak, negeri yang sering dijadikan contoh perpaduan nasional. Bukan luar biasa melihat keluarga berbilang kaum duduk semeja menikmati hidangan bersama tanpa mengira latar belakang.

“Mi kolok hari ini bukan lagi milik satu kaum, ia milik semua rakyat Sarawak. Bagi saya, inilah keindahan sebenar perpaduan,” ujar Baharudin yang kini merancang untuk melanjutkan waktu operasi gerainya bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Kisah seperti ini mencerminkan semangat Malaysia Madani yang menekankan keharmonian, keterangkuman dan saling menghormati dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.

-RJ-

Tinggalkan komen anda