
Laporan/foto: Siti Rahimah Ajis/Rick Anderson Rini (Sarawak)
JULAU, 2 Jul (MalaysiaAktif) – Bagi memastikan golongan warga emas di kawasan pedalaman menerima perlindungan kesihatan yang sewajarnya, satu program vaksinasi influenza telah dijalankan secara terus di rumah panjang sekitar Julau dan ia adalah Inisiatif yang dilaksanakan oleh Klinik Kesihatan Julau sebagai usaha mendekati komuniti yang sukar hadir ke klinik akibat kekangan pengangkutan dan kewangan.
Objektif program adalah untuk melindungi golongan warga emas berisiko tinggi daripada jangkitan influenza, mengurangkan komplikasi serius yang mungkin timbul seterusnya meningkatkan liputan imunisasi di kawasan pedalaman yang sukar diakses.

Jelian Laja turut disuntik vaksin.
Golongan sasaran adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas, terutama mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan penyakit paru-paru.
Persiapan rapi telah dijalankan sebelum pelaksanaan program, termasuk taklimat awal kepada penduduk, penyediaan logistik dan penjadualan giliran suntikan bagi mengelakkan kesesakan. Semasa program berlangsung, setiap penerima menjalani pemeriksaan kesihatan ringkas dan dipantau selama 15 hingga 30 minit selepas vaksinasi.
“Secara keseluruhan, kerjasama daripada penduduk amat baik, walaupun pada awalnya terdapat segelintir penduduk yang takut dan ragu-ragu, tetapi ramai yang tampil sukarela setelah melihat rakan sebaya mereka menerima vaksin tanpa kesan sampingan,” menurut salah seorang petugas program vaksinasi, Meena Nyala, 36, ketika ditemui pagi tadi.

Penduduk menunggu giliran disuntik vaksin.
Namun, program itu turut berdepan cabaran seperti laluan sukar ke rumah panjang semasa musim hujan, kekangan membawa peralatan dalam keadaan sejuk beku serta usaha memberi kefahaman kepada penduduk yang kurang pendedahan terhadap maklumat kesihatan.
Meskipun begitu, tahap kesedaran penduduk terhadap kepentingan vaksinasi didapati semakin meningkat hasil usaha berterusan pihak kesihatan yang menggunakan pelbagai pendekatan seperti ceramah, risalah dan kerjasama dengan ketua komuniti.
Program ini bukan sahaja berjaya mengurangkan risiko jangkitan influenza dalam kalangan warga emas, malah turut mengeratkan hubungan antara pasukan kesihatan dan komuniti setempat.
-RJ-