
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Persatuan Seni Visual Langkawi (LAVAA) dengan kerjasama Balai Seni Negara Langkawi telah melancarkan Pameran LAVAA 15 bersempena sambutan ulang tahun ke-15 penubuhan LAVAA di Galeri Aras 1, Balai Seni Negara Langkawi, di sini kelmarin.
Pegawai Daerah Langkawi Muhamad Subhi Abdullah dalam ucapan perasmian, berkata merakamkan penghargaan kepada LAVAA yang sentiasa konsisten dan bersikap proaktif dalam menganjurkan pelbagai program berpameran seni.
“Usaha berterusan seperti ini amat penting bukan sahaja sebagai wadah untuk menampilkan bakat dan hasil kerja para seniman, tetapi juga sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan dunia seni yang penuh nilai dan estetika.

Gimik Perasmian Pameran LAVAA 15 disempurnakan oleh Pegawai Daerah Langkawi.
“Dari sudut impak ekonomi pula, saya melihat potensi Pulangan Atas Pelaburan (Return on Investment) yang tinggi melalui pemeran ini,” katanya.
Menurutnya lagi, penjualan karya seni bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada pengkarya, tetapi turut menyumbang kepada ekonomi setempat terutama dalam sektor pelancongan, perhotelan dan peruncitan.
“Kehadiran pelawat, kolektor dan peminat seni dari dalam serta luar negara membuktikan bahawa seni mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti,” katanya.
Yang Dipertua LAVAA Sukardi Hashim, berkata objektif utama pameran ini adalah untuk memperkasa komuniti seni visual Langkawi, membina jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk agensi pelancongan serta merancakkan ekonomi seni tempatan.
“Antara penyokong utama pameran ini termasuklah Kedah Tourism, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), dan pemain industri tempatan seperti Lim Optometry dan Che Pa Village Langkawi. LAVAA, yang ditubuhkan pada 23 Disember 2009, kini mempunyai 50 orang ahli dan terus aktif menganjurkan pelbagai program demi memperkukuh ekosistem seni di pulau ini.
“Balai Seni Negara turut menyatakan komitmen untuk meneroka lebih banyak kolaborasi bagi melonjakkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan berasaskan seni dan budaya. Pameran ini menghimpunkan 23 karya seni hasil sentuhan 23 orang artis dari pelbagai latar belakang, merangkumi medium lukisan, catan, arca, cetakan, fotografi dan batik,” katanya.
Salah seorang pengkarya Mohammad Radzi Ismail, 43, Kampung Bendang Baru, Kuah, di sini gembira kerana dapat menghasilkan dan mempamerkan karya seni saya di Balai Seni Negara Cawangan Langkawi bersama rakan-rakan pelukis dari Langkawi.

Para Peserta Bengkel Seni Catan Air sedang menyiapkan karya masing-masing sempena Pameran LAVAA 15 yang diadakan pada 1 hingga 31 Julai 2025 di Balai Seni Negara Langkawi.
“Pada pameran kali ini saya mempamerkan Karya bertajuk “Gamat oh Gamat 2025 “ yang menggunakan tanah liat dan licau sebagai bahan utama. Tanah liat dibakar pada suhu 1200 darjah selsius.
“Karya ini mengenai hidupan dasar laut yang menarik di sekitar Pulau Langkawi. Contohnya Gamat dan Bronok ataupun dikenali sebagai Timun Laut yang banyak digunakan dalam bidang perubatan dan masakan kampung di Langkawi,” katanya.
Peserta bengkel Seni Catan Air dari Taman Medan Berjaya, Ku Nor Diyana Ku Azizan, 41, sangat gembira dan teruja kerana berpeluang menyertai bengkel di Balai Seni Langkawi.
“Sepanjang bengkel, saya dapat menambah ilmu dan berkongsi idea dengan peserta lain. Saya berharap pihak penganjur boleh teruskan dengan lebih banyak bengkel seni seperti ini pada masa akan datang.
“Sangat bermanfaat dan memberi peluang untuk orang ramai belajar dan berkarya bersama,” ujarnya.
Pameran LAVAA 15 dari 1 hingga 31 Julai ini dibuka secara percuma kepada umum setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Balai Seni Negara Rohana Mohd Yusof, Pengarah Balai Seni Negara Langkawi Zaslan Zeeha Zainee, Pegawai Tadbir Seksyen Pembangunan Pelancongan dan Promosi LADA Mohd Tarmizi Mohamad Tajuddin, wakil-wakil agensi kerajaan, dan para penggiat seni tempatan.
-FN-