
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Kampung Selarong Hujung muncul johan dalam Pertandingan Bubur Asyura Ukhuwah Selarong anjuran Biro Muslimat Masjid Al Aula dan Kepimpinan Kampung Selarong di Masjid Al Aula, Kampung Selarong, di sini kelmarin.
Selarong Hujung berjaya menambat hati juri apabila menewaskan tiga pencabar lain iaitu Kampung Padang Jeneris, Kampung Padang Kota dan Kampung Padang Bekuai.

Kumpulan Selarong Hujung bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Selarong, Alias Hashim (dua dari kiri).
Menurut Ketua Kumpulan Saadiah Abdul Hamid, tiada rahsia dalam pembuatan bubur Asyura berkenaan malah bahan yang digunakan sama seperti kumpulan lain.
“Antara bahan yang digunakan adalah kacang tanah, kacang hijau, kacang kuda, keledek, tepung beras, beras, jagung dan santan.
Jelasnya lagi, setiap peserta mempunyai tugas dan peranan masing-masing bagi memastikan bubur asyura itu siap dalam tempoh ditetapkan.
“Sebagai tarikan, ahli kumpulan memakai kain batik yang dijadikan selendang di kepala, manakala peserta lelaki memakai kain pelikat persis gaya pahlawan dulu kala,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Khas Menteri Besar Perak (DUN Pengkalan Hulu) Salehuddin Isa.
-RI






