Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

NADI Kluster Pendang Perkasa Literasi Digital Masyarakat Setempat

By 13 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)

PENDANG, 13 Jan (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kluster Pendang terus giat memperkasa literasi digital masyarakat setempat menerusi pelaksanaan pelbagai program latihan kemahiran teknologi dan aktiviti komuniti berteraskan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) secara beretika, selamat dan produktif selaras dengan keperluan akses maklumat yang sahih dan pantas dalam era digital masa kini.

Kelas NADI Mahir Memasak yang diadakan di NADI Kampung Chegar

Ketua NADI Kluster Pendang Nurul Hayani Abdullah, 37, berkata pelbagai aktiviti dan program telah dirancang bagi memperkasa masyarakat setempat, termasuk Kelas NADI Mahir serta kelas tambahan percuma kepada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam.

“Bagi membantu golongan belia menjadi lebih celik digital serta membuka peluang pekerjaan kepada mereka, kami menyediakan Kelas NADI Mahir yang menawarkan lima pilihan kemahiran iaitu menjahit, memasak, fotografi, pengendalian gajet dan pertanian,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Menurutnya, Kelas NADI Mahir akan dilaksanakan untuk tiga bulan dengan sesi pembelajaran diadakan sekali seminggu bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran secara berperingkat dan berkesan.

Kelas tambahan percuma yang dijalankan oleh NADI Kluster Pendang

Selain itu, Nurul Hayani turut memaklumkan NADI Kluster Pendang telah berjaya melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) secara bersemuka di 42 buah sekolah sekitar daerah Pendang sepanjang tahun lalu.

Beliau berharap pelaksanaan KIS dapat diteruskan pada tahun ini bagi memberi pendedahan berterusan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan masyarakat mengenai kepentingan keselamatan, etika dan tanggungjawab dalam penggunaan dunia digital.

Usaha berterusan NADI Kluster Pendang ini dilihat mampu memberi impak positif dalam melahirkan masyarakat celik digital, berkemahiran teknologi serta lebih bersedia menghadapi cabaran dan peluang dalam ekonomi digital masa kini.

-AA-

Tinggalkan komen anda