
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SIMANGGANG, 17 Mei (Malaysiaktif)— Kerjasama strategik antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat perlu terus diperkukuhkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi sebarang situasi kecemasan.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie menyatakan pendekatan bersepadu itu penting memandangkan aspek keselamatan bukan hanya terletak di bahu pasukan penyelamat semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan penglibatan aktif seluruh masyarakat.
Menurut beliau, komuniti yang mempunyai pengetahuan dan kesedaran tinggi mengenai keselamatan kebakaran akan lebih bersedia menghadapi bencana selain mampu bertindak pantas ketika kecemasan berlaku.
“Program seperti ini amat penting dalam membentuk komuniti yang lebih peka, berilmu dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kebakaran, banjir serta bencana lain.
“Saya amat menghargai komitmen JBPM yang sentiasa proaktif mendekati masyarakat melalui pendekatan pendidikan, latihan dan advokasi keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sehari Bersama Bomba dan Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman pada hari ini.
Sementara itu, Ketua Zon 3 JBPM Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata program berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai aspek pencegahan kebakaran dan tindakan awal ketika berlaku kecemasan.
Beliau berkata pengetahuan asas seperti penggunaan alat pemadam api dan pelan pemindahan kecemasan amat penting bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.
“JBPM akan terus mempergiat usaha mendekati komuniti melalui program pendidikan keselamatan, latihan kebakaran dan aktiviti kemasyarakatan agar masyarakat lebih memahami peranan bomba bukan sahaja sebagai pasukan penyelamat, tetapi juga rakan strategik komuniti dalam aspek keselamatan awam,” katanya.
-RJ-






