
Laporan/foto: Rokayah Gobik (Niah)
NIAH, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Makan Tahun Kampung Mumong, Bekenu terus menjadi medium penting dalam memelihara warisan budaya kaum Kedayan di samping memperkukuh semangat gotong-royong serta hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Program yang berlangsung di Balai Raya Kampung Mumong semalam itu mendapat penglibatan aktif penduduk kampung serta sokongan pelbagai pihak, sekali gus menyerlahkan semangat kerjasama masyarakat dalam menjayakan tradisi tahunan tersebut.
Bendahari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mumong Bekenu, Sinong Tamin, 63, berkata Majlis Makan Tahun perlu terus dipelihara terutama dalam kalangan generasi muda agar warisan budaya masyarakat tidak luput ditelan zaman.
“Program seperti ini bukan sahaja mengekalkan budaya warisan, malah mengajar golongan muda mengenai nilai kerjasama dan perpaduan dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Jambu, Kristina Salleh, 40, berkata program tersebut berjaya mengeratkan hubungan antara penduduk Kampung Mumong dengan masyarakat dari kampung berhampiran.
“Majlis seperti ini penting supaya tradisi kaum Kedayan terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang,” ujarnya.
Ketua Biro Wanita JKKK Kampung Mumong Bekenu, Anita Taib, 51, memberitahu, golongan wanita kampung memainkan peranan penting dalam menjayakan persiapan majlis melalui aktiviti gotong-royong.
“Kerjasama kaum wanita dalam penyediaan makanan dan persiapan majlis menunjukkan semangat perpaduan yang masih kukuh dalam komuniti kampung ini,” jelasnya.
-RJ-





