Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

10 Pasangan Pengantin Warga Emas dan OKU Dirai

By 9 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 5 Jun (MalaysiaAktif) – 10 pasangan pengantin warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) diraikan dalam Program Sentuhan Kasih, Mengukir Senyuman Bersama Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi Daerah Kuala Pilah tahun 1447H/2026M, di Masjid Jamek Yamtuan Raden, di sini semalam.

“Warga emas adalah golongan yang sudah melalui pelbagai fasa kehidupan, masa susah, masa senang, membina keluarga dan masyarakat dengan mencurahkan tenaga, keringat dan pengorbanan yang tidak terkira.

“OKU pula mempunyai hak yang sama rata untuk menikmati kehidupan sosial seperti orang lain tanpa didiskriminasi atas sebab kelainan upaya mereka,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pilah Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

Noorzunita (tengah) berarak bersama pasangan pengantin.

Warga emas dan OKU merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang perlu disantuni, dihormati dan diberikan perhatian sewajarnya agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna.

Salah seorang peserta warga emas, Ab Wahab Kari, 70, berterima kasih kepada penganjur Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kerana memberinya peluang sebagai pasangan yang diraikan dalam program tersebut.

“Kami cukup bersyukur kerana diraikan di majlis seperti ini. 53 tahun dahulu, kami tidak dapat merasa untuk diraikan seperti hari ini,” katanya.

Pelbagai acara diatur bagi memeriahkan program seperti ceramah kesihatan, senaman ringan dan pertandingan mewarna oleh anak-anak Pusat Dalam Komuniti (PDK).

Turut hadir Pegawai JHEAINS Daerah Kuala Pilah Hardi Mohd Sadali, Pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Daerah Kuala Pilah Syed Mazlan Syed Azizan dan Ketua Unit Penerbitan dan Percetakan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Mohd Firdaus Hairi.

-RI

Tinggalkan komen anda