
Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Mohd Hafiz (Sabak Bernam)
SABAK BERNAM, 4 Jun (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM1 juta bagi pembangunan Pantai Bumi Hijau sebagai produk ekopelancongan baharu yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan di Daerah Sabak Bernam.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail berkata peruntukan menerusi geran sepadan kerajaan negeri tersebut digunakan untuk memperkasa kemudahan serta tarikan pelancongan di kawasan berkenaan yang menawarkan pelbagai aktiviti berasaskan alam semula jadi.
“Antara tarikan utama yang ditawarkan di sini ialah aktiviti mengutip remis, flying fox (luncur keluang), mandi pantai dan pasar terapung, selain dilengkapi kemudahan asas seperti surau dan tandas,” katanya ketika ditemui media sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sabak Bernam, di sini semalam.

Rizam ditermui media sempena Program Gagasan Rumpun Selangor daerah Sabak Bernam di Pantai Bumi Hijau semalam.
Menurut Rizam, Pantai Bumi Hijau kini dibuka kepada orang ramai dengan sasaran awal mampu menarik lebih 3,000 pengunjung, dengan potensi peningkatan jumlah pelawat khususnya pada hujung minggu susulan penambahan produk dan aktiviti pelancongan yang ditawarkan.
Katanya, Koperasi Hijrah Selangor (Kohijrah) turut merancang pembangunan fasa seterusnya termasuk cadangan mewujudkan resort berkonsepkan alam semula jadi di kawasan hutan paya bakau bagi menarik pelancong domestik dan antarabangsa.
“Bagaimanapun, cadangan pembangunan resort itu perlu diteliti secara menyeluruh kerana melibatkan ekosistem paya bakau yang perlu dipelihara selaras dengan titah Raja Muda Selangor agar kelestarian alam sekitar terus dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata Sabak Bernam kini dibangunkan secara holistik sebagai bandar agropolitan menerusi projek Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) yang mengintegrasikan sektor pelancongan, pertanian dan perikanan bagi merancakkan ekonomi setempat.
Terdahulu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan isteri Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berkenan berangkat ke Pantai Bumi Hijau sempena program berkenaan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Baginda turut berkenan melawat peniaga di pasar terapung, mendengar taklimat daripada Kohijrah, melepaskan benih udang galah dan ikan siakap serta menyertai aktiviti penanaman semula pokok bakau di pesisiran pantai.
Dalam lawatan tersebut, Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap seorang kepada 20 peniaga asnaf termasuk peniaga pasar terapung sebagai usaha membantu meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan golongan berkenaan.
-RI




