
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Sabak Bernam)
SUNGAI BESAR, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM25 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi membantu pesawah, petani, nelayan, penternak dan pengusaha akuakultur yang berdepan peningkatan kos input, bahan api serta operasi pengeluaran makanan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Dato’ Ir. Izham Hashim, berkata pakej bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 14,131 penerima, dengan langkah sokongan yang dirangka khusus untuk mengurangkan beban pengusaha sektor pertanian dalam memastikan aktiviti pengeluaran makanan dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Ini merupakan inisiatif pertama di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor dilancarkan secara rasminya hari ini bersama dengan Program Gagasan Rumpun Selango,” katanya pada Majlis Pelancaran Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, Sektor Pertanian di Dewan Sri Bernam, di sini semalam.
Katanya lagi, menerusi pakej tersebut, seramai 7,387 pesawah menerima bantuan tunai berjumlah RM8.75 juta, manakala pengusaha tanaman selain padi menerima bantuan input baja bernilai RM6.19 juta.

Ir. Izham ketika berucap sempena Program Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Seri Benam Sungai Besar, Sabak Bernam.
“2,178 nelayan menerima subsidi bahan api berjumlah RM3.92 juta dan RM5.4 juta turut diperuntukkan bagi bantuan makanan ternakan yang memanfaatkan 2,000 penternak.
“Pada masa yang sama, RM729,000 disalurkan kepada 270 pengusaha akuakultur di negeri itu,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan bantuan kepada penerima terpilih sempena program Gagasan Rumpun Selangor daerah Sabak Bernam.
Kerajaan negeri turut menambah peruntukan Program Jualan Ehsan Rahmah sebanyak RM5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program itu RM10 juta bagi Program Jualan Ehsan Rahmah di 779 lokasi seluruh Selangor.
Selangor juga memperkukuh inisiatif Gudang Makanan Selangor menerusi peruntukan RM50 juta bagi meningkatkan stok simpanan makanan asas seperti beras, ayam, ikan, daging lembudan minyak masak.
-RI





