
Laporan/foto: Sumardi Sugiman (Limbang)
LIMBANG, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Penduduk yang terlibat dengan perpindahan ke Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Ranggau Valley bakal menikmati kediaman yang lebih luas, selesa dan berkualiti sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup mereka pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek perumahan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan persekitaran kediaman yang lebih baik kepada rakyat.
Menurut beliau, rumah yang dibangunkan di RMM Ranggau Valley menawarkan ruang kediaman yang lebih luas berbanding penempatan sedia ada selain menyediakan persekitaran yang lebih teratur dan kondusif untuk didiami.
“Perpindahan ke RMM Ranggau Valley merupakan satu langkah ke hadapan untuk meningkatkan kesejahteraan keluarga serta menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
“Selain itu, keluarga yang terlibat juga akan menikmati kediaman yang lebih selesa dan memiliki aset yang lebih bernilai untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Sesi Libat Urus Rumah Mampu Milik (RMM) Ranggau Valley bersama Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat di Dewan Kampung Bunga Raya, semalam.
Abdul Rahman berkata, kerajaan berharap proses perpindahan dapat dilaksanakan dengan lancar supaya penduduk dapat menikmati manfaat yang disediakan menerusi pembangunan tersebut dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, program anjuran Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) berkenaan diadakan bagi memastikan penduduk memperoleh maklumat yang jelas dan tepat mengenai proses perpindahan serta kemudahan yang disediakan di penempatan baharu tersebut.





