Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

10 Pasangan Pengantin Dirai Dalam Program Anggun Suri Indera Mahkota

By 11 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farahshaerza/Allyshia (Kuantan)

KUANTAN, 7 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 10 pasangan pengantin diraikan dalam Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-Ramai) Tahun 2026 Peringkat Parlimen Indera Mahkota yang berlangsung di Dewan Wisma Belia Negeri Pahang.

Program anjuran Kerajaan Negeri Pahang itu merupakan inisiatif membantu golongan B40, asnaf dan pasangan kurang berkemampuan melangsungkan perkahwinan dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk dewan, pelamin, jamuan makan, majlis akad nikah serta pakaian pengantin.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid, berkata program tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu pasangan muda memulakan kehidupan berumah tangga, sekali gus memperkukuh institusi kekeluargaan dalam masyarakat.

“Selain itu, setiap pasangan pengantin juga turut menerima Insentif Perkahwinan Kali Pertama berjumlah RM300 sebagai bantuan permulaan berkeluarga.

“Lebih istimewa, pasangan yang diraikan turut menerima sijil nikah dan kad nikah pada hari yang sama selepas selesai akad nikah, sekali gus memudahkan urusan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, semalam.

Majlis turut diserikan dengan persembahan silat mengiringi perarakan masuk pengantin, diikuti istiadat merenjis, sesi bergambar kenangan, jamuan makan beradap serta persembahan nyanyian yang memeriahkan suasana.

Program tersebut bukan sahaja membantu meringankan beban pasangan kurang berkemampuan untuk melangsungkan perkahwinan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga, masyarakat dan agensi yang terlibat.

-AA-

Tinggalkan komen anda